
Ramalan muktamad PRK Ayer Kuning: Calon UMNO menang selesa dengan peningkatan besar majoriti, peratus keluar mengundi dalam julat 69-73% – RJ Rithaudeen (Ulasan penuh di bawah)
Raggie Jessy Rithaudeen
Pada 19 April 2025, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dipetik sebagai berkata, pengundi PRK Ayer Kuning perlu memberi ‘signal’ kepada Umno yang ramai tidak bersetuju kerjasamanya dengan DAP menerusi kerajaan perpaduan.
Menurut laporan FMT, Adun Gunung Semanggol itu mendakwa Umno telah memungkiri janji untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim, merujuk kepada laungan Presiden Zahidi Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2020 berlangsung Mac 2021.
Pada saya, seruan Razman mencadangkan PAS hilang arah dan ketandusan strategi untuk menarik pengundi atas pagar dan pengundi Cina.
Maka, untuk elak hilang sokongan yang sedia ada, PAS memainkan naratif baru yang membawa maksud “UMNO harus dihukum kerana bekerjasama dengan Anwar dan DAP.”
Sebenarnya, isu UMNO memungkiri janji sudahpun dinilai dan diadili pengundi menerusi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung sembilan bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Pada ketika itu, gelombang hijau-biru yang melanda PRU15 bertambah besar, menyebabkan Perikatan Nasional (PN) mencatatkan peningkatan ketara dari segi jumlah perolehan kerusi.
Namun, pada beberapa pilihan raya seterusnya, pola pengundian menunjukkan UMNO, Pakatan Harapan (PH) dan PN masing-masing mencapai tahap maksima sokongan Melayu-Islam.
Yang memilih untuk kekal bersama UMNO kini sudah bersama parti itu selama dua tahun lima bulan (selepas PRU15) atau hampir separuh penggal penuh parlimen ke-15.
Mereka berbuat demikian biarpun terdedah dengan pelbagai naratif pedas seperti “Zahid memungkiri janji,” “Zahid terlepas hukuman,” “Zahid tak serius bantu Najib,” “UMNO khadam DAP” dan sebagainya.
Ini bermakna, pengundi yang ada bersama UMNO terdiri daripada:
1. Mereka yang utamakan parti berbanding kepimpinan, atau
2. Penyokong tegar Zahid, atau
3. Mereka yang tidak percaya dengan naratif yang dimainkan oleh pembangkang, atau
4. Mereka yang lebih selesa dengan Zahid berbanding Muhyiddin dan/atau Hadi Awang, atau
5. Mereka yang lebih selesa dengan UMNO berbanding Perikatan Nasional, atau
6. Mereka yang sedar bahawa UMNO perlu DAP untuk meraih undi Cina agar Barisan Nasional boleh kembali mentadbir negara di masa depan, atau
7. Mereka yang merasakan PN sekadar gabungan “pandai serang” tapi “tak pandai menampilkan penyelesaian,” atau
8. Golongan Melayu muda progresif yang selesa dengan imej baharu UMNO yang lebih bertoleransi dan sedia berbincang secara matang tanpa membawa mana-mana isu ke tahap ekstrim, atau
9. Mana-mana kombinasi di atas.
Kemudian, satu kejutan berlaku – Pada PRK Mahkota, UMNO tiba-tiba berjaya memecahkan tembok yang memisahkan pengundi tradisi BN dan PH.
Pada PRK itu, jentera Pilihan Raya BN dan PH berkempen bersama sebagai “Jentera Perpaduan” tanpa segan dan silu, termasuk MCA dan DAP, yang buat kali pertama turun ke padang sebagai kawan, bukan lawan.
Biarpun Melayu nampak UMNO dan DAP berkongsi pentas ceramah, UMNO berjaya kekalkan sokongan yang sedia ada. Malah, parti itu berjaya meraih sokongan pengundi Cina (PH) dan sedikit sebanyak penyokong PN pada PRU15.
Kejutan ini sememangnya tidak dijangka PAS, dan buktinya ialah terbitan Harakah Daily bertarikh 26 September 2024, dua hari sebelum tarikh PRK, di mana pengarangnya menulis:
“…pengundi Cina juga kurang selesa dengan calon BN kerana gabungan UMNO dan DAP. Ini boleh menyebabkan pengundi Cina mengambil pendirian berkecuali atau memboikot PRK…”
Pada hari mengundi pula, calon yang bertanding berkata:
“Saya yakin pada kali ini kita boleh mendapat sokongan daripada bukan Melayu berdasarkan respons yang kita terima daripada mereka dan kita boleh lihatlah reaksi mereka.”
Nyata pandangan mereka tersasar jauh daripada realiti semasa, sepertimana juga strategi Razman pada PRK Ayer Kuning. Ini pendapat jujur saya.
Keputusan PRK Mahkota jelas membuktikan bahawa faktor DAP tidak lagi menjadi kerisauan penyokong UMNO yang sedia ada, barangkali atas kesedaran bahawa tanpa DAP, BN tidak mampu raih kembali keyakinan Cina terhadap UMNO.
Malah, penghijrahan sejumlah penyokong Melayu kepada UMNO turut mencadangkan kemunculan jalur kecil pengundi Melayu muda progresif dari PN yang kini duduk atas pagar, sekaligus mendedahkan PN pada risiko keciciran sokongan Melayu-Islam.
Tidak mustahil jalur ini melebar jika PAS terus-menerus menekankan perjuangan Agama, Bangsa dan Negara ke tahap ekstrim lampau – sampai tersasar atau bersempadankan fitnah, sepertimana yang berlaku kebelakangan ini – tanpa menitikberatkan keperluan menarik pengundi atas pagar dan pengundi bukan Melayu.
Golongan Melayu muda progresif semestinya tahu bahawa PAS tidak akan mampu menjadi kerajaan selagi tidak terdaya menarik pengundi bukan Melayu.
Berdasarkan perbualan saya dengan golongan ini, ramai melihat keberadaan parti Melayu dalam kerajaan – sekalipun terpaksa bersama DAP – sebagai syarat penting agar perjuangan Agama, Bangsa dan Negara lebih mantap.
Ini setelah mereka menilai kemampuan pemuda UMNO untuk memperjuangkan beberapa isu penting berteraskan Agama dan Bangsa tanpa mampu dihalang DAP – mereka terus terpikat untuk berjuang bersama UMNO.
Mereka sedar bahawa BN berpotensi kembali menerajui negara di masa hadapan setelah beransur-ansur diterima kembali oleh pengundi Cina sepertimana yang berlaku di Mahkota.
Strategi Jentera Perpaduan kini lebih kepada penyelesaian “untuk semua menerusi toleransi dan perbincangan,” manakala strategi PAS (berdasarkan kenyataan Razman) lebih kepada “jom hukum UMNO sebab bersama DAP.”
Itu bukan strategi namanya, itu lebih kepada aksi “memanah dalam gelap tanpa sasaran.” Petandanya, PAS kini berterbangan bagaikan “burung kepatahan sayap,” tanpa hala tuju atau strategi yang mantap.
Sebagai penutup, berikut merupakan komen saya (skrol ke bawah gambar) sebagai respons kepada dakwaan Johari Ghani bahawa “Lebih baik ‘jual’ calon, bukan hentam lawan”:
Betul. Ini yang cuba saya sampaikan selama ini.
Kalau strategi anda sekadar “serang, serang, serang” tak tentu hala – sampai tersasar sana sini – atau kalau anda menganggap “peperangan” adalah penyelesaian kepada segala masalah, lambat laun, anda sendiri akan tempuhi masalah besar.
Sedar tak sedar, pengundi muda merupakan majoriti besar menjelang PRK Ayer Kuning dan PRU16, dan mereka tergolong dalam kategori pengundi yang dianggap “lebih progresif dan dinamik.”
Jika anda gagal menyuarakan sejelas-jelas mungkin sebab mereka harus percaya bahawa andalah penyelesaian kepada segala masalah yang anda sendiri canang, lama-kelamaan, mereka akan bosan dan putus harapan.
Bila penonton anda bosan dan putus harapan, mereka akan mula jenguk sekali-sekala di pihak lawan untuk mendengar apa yang di sampaikan.
Maka bermulalah ‘hakisan’ sokongan tradisi anda, lebih-lebih lagi jika pihak lawan menampilkan sikap atau gaya yang lebih progresif dan kesanggupan untuk berbincang atau melakukan penilaian semula.
Sukar mengubah sikap pemimpin – pemimpin dinosaur atau penta’asub mereka yang bersama-sama duduk bertapa di bawah tempurung khayalan yang penuh kealpaan.
RJ Rithaudeen
