“Jika Pilihan Raya diawalkan juga, saya amat yakin bahawa rakyat Malaysia akan keluar beramai-ramai untuk menghukum Zahid dan Barisan Nasional, agar gabungan itu tidak berjaya membentuk kerajaan untuk mengelakkan risiko berlaku campurtangan dalam urusan kehakiman”
Raggie Jessy Rithaudeen
امنو دلندا كريسيس بسر: زاهيد ده مولا مڠيڬاو، كاكي ده تق ڤيجق بومي ڽات
Cuba saudara saudara luangkan masa teliti kenyataan terkini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepertimana yang dilaporkan oleh dua portal berita:
“Kita tahu kalau ada musuh di luar parti kita, itu kita kenal pasti dengan mudah.
“Kalau ada duri dalam daging, gunting dalam lipatan, kita kenal. Sekilas ikan di air, kita kenal jantan dan betinanya.
“Tidak lama, saya ulangi, tidak lama. Sesuatu mesti dilakukan untuk membersihkan. Kita harus melakukan pembersihan dari dalam.
“Kita tidak mahu ada musang dalam reban ayam. Musang perlu dikeluarkan.
“Kita tidak mahu ada bangkai tikus dalam telaga kita. Telaga yang ada bangkai tikus airnya tidak boleh diminum.”
Kini, teliti apa yang pernah saya sebutkan baru-baru ini (BACA ARTIKEL PENUH DI SINI):
Satu-satunya matlamat majoriti rakyat Malaysia adalah untuk memastikan bahawa sistem kehakiman Malaysia terus bebas daripada pengaruh politik.
Perkara ini dapat dilihat dengan jelas menerusi pencapaian petisyen yang mendesak Yang Di-Pertuan Agong untuk tidak mengampunkan Najib, di mana petisyen ini mencecah 100,000 tandatangan dalam tempoh kurang 24 jam.
Manakala itu, petisyen yang mendesak Yang Di-Pertuan Agong untuk mengampunkan Najib hanya mencapai 8,200 tandatangan selepas empat hari digerakkan, biarpun UMNO didakwa mempunyai 3 juta ahli yang majoritinya “penyokong Najib.”
Menerusi kegagalan petisyen “pro-Najib” inilah penipuan ‘unit propaganda’ UMNO berhubung tahap sebenar pengaruh “Bossku” terserlah.
Malah, rakyat dapat melihat sendiri bagaimana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekan Ismail Sabri untuk mengusulkan pembubaran parlimen atas sebab-sebab yang berbaur propaganda dan “tidak masuk akal.”
Sudah pasti ini akan membimbangkan masyarakat majmuk, kerana Zahid sendiri berdepan dengan puluhan tuduhan jenayah dan gagal memberikan sebarang sebab munasabah kenapa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) harus disegerakan.
Untuk rekod, Parlimen Malaysia ke-14 wajib dibubarkan pada Julai 2023, dan kerajaan pimpinan Ismail Sabri pada ketika ini tidak diancam oleh mana-mana kumpulan politik selain Kluster Mahkamah UMNO, yang merupakan satu-satunya pihak yang mendesak agar Pilihan Raya Umum diawalkan.
Sudah tentu rakyat akan mengesyaki bahawa Zahid hendak cuba membebaskan dirinya daripada tuduhan jenayah andai kata Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan dan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.
Satu Malaysia mendengar ucapan ‘hina mahkamah’ Zahid pada taklimat khas presiden baru-baru ini, dan ini menambahkan lagi keyakinan bahawa Zahid akan melakukan segala apa yang mungkin untuk menyelamatkan tengkuknya, termasuk memfitnah dan menghasut.
Atas dasar itulah satu gelombang penolakan besar-besaran sudah wujud di media sosial, di mana rakyat menolak Pilihan Raya awal berbekalkan keyakinan bahawa system kehakiman Malaysia kini bebas daripada pengaruh politik dan akan terus bebas selagi Kluster Mahkamah tidak terlibat dengan kerajaan.
Jika Pilihan Raya diawalkan juga, saya amat yakin bahawa rakyat Malaysia akan keluar beramai-ramai untuk menghukum Zahid dan Barisan Nasional, agar gabungan itu tidak berjaya membentuk kerajaan untuk mengelakkan risiko berlaku campurtangan dalam urusan kehakiman.
Rata-ratanya, majoriti rakyat Malaysia ingin Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan setelah tamat tempoh penuh penggal parlimen ke-14 dan ingin Ismail Sabri kekal sebagai Perdana Menteri dalam tempoh itu.
Ini sudah pasti akan meningkatkan lagi keterdesakan Zahid, dan saya percaya, beliau akan memikirkan kemungkinan menumbangkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri dengan bantuan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional yang bersimpati dengan Kluster Mahkamah.
Biarpun jumlah ahli-ahli parlimen ini kecil, ianya cukup untuk menyah-stabilkan kerajaan seandainya mereka menarik sokongan terhadap Ismail Sabri.
Namun, Ismail Sabri boleh sahaja mengusulkan pengisytiharan Darurat Politik kepada Yang Di-Pertuan Agong dan kekal sebagai Perdana Menteri.
Seterusnya, Ismail Sabri boleh melumpuhkan politik Zahid secara paksa menerusi penggubalan Ordinan-Ordinan Darurat yang bersesuaian.
Zahid tidak akan mampu berbuat apa-apa, melainkan akur, bahawa UMNO sebagai parti politik tidak ada hak berperlembagaan untuk memaksa Perdana Menteri mengusulkan apa-apa kepada Yang Di-Pertuan Agong, termasuk pembubaran parlimen.
Zahid juga terpaksa akur bahawa peranan Ismail Sabri sebagai ahli UMNO dan Perdana Menteri cukup berbeza dan saling tidak bertindih, di mana sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri tidak wajib menuruti sebarang ketetapan UMNO.
Andai kata Zahid bertindak memecat Ismail Sabri daripada UMNO, ianya tidak mampu membawa sebarang kebaikan buat dirinya, kerana Ismail Sabri akan kekal sebagai Perdana Menteri berdasarkan keahliannya di Dewan Rakyat.
Namun, Zahid dan UMNO akan menanggung akibatnya pada PRU15 dengan penolakkan besar-besaran yang sudah tentu akan menghancurkan UMNO buat selama-lamanya.
Malah, saya menjangkakan akan berlaku pengunduran ramai pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan serta boikot jentera Pilihan Raya di terlalu banyak kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri sekiranya Ismail Sabri dipecat.
Kesemua ini sudah pasti akan memarahkan akar umbi UMNO dan menjurus kepada “undi dendam,” di mana ramai penyokong UMNO akan menyokong pihak lawan atau tidak keluar mengundi pada PRU15.
