“Akar umbi ingin seorang pemimpin yang tidak gentar memperjuangkan kebenaran, sekalipun berisiko dipecat oleh presiden UMNO yang tidak serik memecat atau menggantung keahlian mereka yang mengkritik atau menegurnya. Akar umbi tidak percaya dengan retorika semata-mata dan tidak mahu seorang yang memondan depan presiden kerana takut hilang kuasa dan kedudukan.”
Raggie Jessy Rithaudeen
جك هشام الدين تروس ‘مموندان’ دڤن زاهيد، برسدياله تڠڬلم برسام ڤه بيلا سمڤأي ماس
UMNO sukar diterima saki baki pengundi tegar parti itu selepas kepimpinannya membelakangkan keputusan dasar dan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Dasar itu ditetapkan pada Perhimpunan Agung UMNO Mac lalu dan tidak bersyarat, bermakna larangan kerjasama itu masih berkuatkuasa bila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk bersama Anwar dan DAP.
Keputusan itu disampaikan kepada Istana Negara tanpa pengetahuan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional, menerusi satu warkah yang dialamatkan oleh Zahid secara rahsia kepada Yang Di-Pertuan Agong.
Dalam warkah itu, Zahid menipu Seri Paduka Baginda Tuanku kononnya kesemua ahli parlimen Barisan Nasional menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-10.
Warkah ini muncul sehari selepas Zahid mendapat persetujuan kesemua ahli parlimen Barisan Nasional bahawa mereka akan kekal sebagai pembangkang dan tidak menyokong mana-mana calon Perdana Menteri, samada dari Perikatan Nasional mahupun Pakatan Harapan.
Walaupun dibantah majoriti ahli parlimen Barisan Nasional, akhirnya semua membatu apabila kerjasama UMNO, Anwar dan DAP dihalalkan oleh Zahid dengan naratif palsu kononnya Yang Di-Pertuan Agong menitahkan agar Barisan Nasional menyertai kerajaan bersama Pakatan Harapan.
Hakikatnya, Yang Di-Pertuan Agong tidak merujuk kepada sebarang ‘janji’ kerjasama antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional apabila melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.
Sebaliknya, Yang Di-Pertuan Agong melantik Anwar atas pertimbangan “parti yang memenangi kerusi terbanyak,” yakni Pakatan Harapan.
Yang Di-Pertuan Agong juga melantik Anwar sebagai Perdana Menteri atas keyakinan bahawa semua ahli parlimen Pakatan Harapan menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri dan pendapat (atau hemat) Seri Paduka Baginda Tuanku bahawa Anwar mungkin mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Ini selaras dengan peruntukan Perkara 43 (a) Perlembagaan Persekutuan, dan ianya turut bermakna Yang Di-Pertuan Agong tahu bahwa Anwar akan bergelar “Perdana Menteri Kerajaan Minoriti” dan perlu membuktikan keabsahannya menerusi undian di Dewan Rakyat.
Ringkasnya, Anwar tetap akan menjadi Perdana Menteri tidak kira samada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan bekerjasama atau tidak, dan naratif kononnya kerjasama ini perlu agar kerajaan dapat dibentuk adalah palsu sama sekali.
Pemimpin-pemimpin yang sayangkan UMNO seharusnya menebus kembali maruah parti itu dengan mendesak agar Zahid meletak jawatan sebagai presiden UMNO demi menghormati mandat penyokong parti.
Ini wajib dilakukan, kerana Zahid telah menipu ahli-ahli parlimen UMNO untuk menghalalkan cara, di samping melanggar perlembagaan parti apabila membelakangkan keputusan dasar yang dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO.
Data tidak menipu, dan data menunjukkan bahawa prestasi Barisan Nasional merosot secara konsisten selepas Pilihan Raya Umum 2004 dan dijangka terus merosot pada Pilihan Raya Umum ke-16.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, UMNO kehilangan terlalu banyak “Zon Putih” atau kawasan “fixed deposit” kepada Perikatan Nasional kerana akar umbi tidak percaya lagi dengan kepimpinan parti dan mengesyaki Zahid ingin bekerjasama dengan Anwar dan DAP.
Sekiranya pemimpin UMNO terus ‘memondan’ dan berpura-pura seperti kerjasama ini bukannya satu masalah serius, maka bersedialah tenggelam bersama Pakatan Harapan bila sampai masanya.
Akar umbi ingin seorang pemimpin yang tidak gentar memperjuangkan kebenaran, sekalipun berisiko dipecat oleh presiden UMNO yang tidak serik memecat atau menggantung keahlian mereka yang mengkritik atau menegurnya.
Akar umbi tidak percaya dengan retorika semata-mata dan tidak mahu seorang yang memondan depan presiden kerana takut hilang kuasa dan kedudukan.
