“Apakah UMNO kini menjadi pentas hasutan bagi meracuni pemikiran rakyat terhadap system kehakiman?”
Raggie Jessy Rithaudeen
امنو كيني هاڽ ڤلاتفورم ڤروڤاڬندا زاهيد، مرسهكن رعيت
Saya tertarik dengan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung perlunya Majlis Penasihat Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dibubarkan.
Menurut Zahid, MPN tidak mempunyai fungsi yang jelas dan bertindih dengan agensi kerajaan lain dan hanya digunakan Muhyiddin sebagai platform propaganda politiknya.
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
“Seperti saya katakan sebelum ini, MPN perlu dibubar kerana fungsinya tidak jelas, tidak perlu, malah bertindih dengan fungsi badan pemikir dan agensi Kerajaan lain yang bertindak sebagai penasihat serta pelaksana,” katanya.
Saya bersetuju dengan Zahid dalam perkara ini, malah, saya sendiri pernah menyuarakan beberapa kali sejak MPN mula-mula ditubuhkan di bawah pentadbiran Muhuyiddin, bahawa majlis itu diciplak daripada idea Tun Dr Mahathir Mohamad dan diubahsuai kepada platform lantikan politik.
Namun, saya hairan kenapa Zahid tidak menyuarakan perkara ini ketika Datuk Seri Ismail Sabri mula-mula mengambil alih kerajaan dan meneruskan perkhidmatan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN.
Saya juga tertanya-tanya bagaimana Zahid tidak sedar, bahawa UMNO kini tidak lagi dilihat memperjuangkan Agama, Bangsa dan Negara, tetapi lebih berupa “platform propaganda politik” Kluster Mahkamah, termasuk Zahid sendiri.
Apa tidaknya, sedangkan UMNO mengadakan konvensyen demi konvensyen di bawah payung Barisan Nasional untuk memarakkan propaganda “Pilihan Raya awal,” yang “diulang siar” di setiap konvensyen menggunakan dana parti milik ahli-ahli parti.
Apakah ini fungsi UMNO sebagai pejuang Melayu-Islam? Apakah UMNO tidak sedar bahawa perti politik tidak mempunyai sebarang hak berperlembagaan untuk memaksa kerajaan atau perdana menteri berbuat apa-apa?
Zahid turut menggunakan pentas UMNO bagi mengadakan Majlis Taklimat Khas Presiden, yang akhirnya menjadi pentas hasutan bersifat menghina mahkamah, di mana hadirin disajikan dengan beberapa fakta palsu berhubung rayuan ahkir SRC Datuk Seri Najib Tun Razak dan proses penghakiman.
Apakah ini fungsi UMNO sebagai pejuang Melayu-Islam? Apakah UMNO kini menjadi pentas hasutan bagi meracuni pemikiran rakyat terhadap system kehakiman?
UMNO juga kerap melangkaui batas dengan menekan perdana menteri secara tidak berperlembagaan untuk mengusulkan pembubaran parlimen secepat mungkin.
Namun, tidak ada sebarang alasan munasabah yang diberikan oleh Zahid bagi menyokong agenda Pilihan Raya awal, malah terlalu banyak alasan yang bercanggah-canggah diberikan sejak Perhimpunan Agung UMNO Mac lalu.
20 September lalu, saya menulis:
Berikut merupakan alasan-alasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perhatikan sendiri bagaimana alasan dan motivasi Zahid untuk segerakan PRU15 sentiasa berubah-ubah:
11 Mac 2022: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tamat pada Julai kerana faktor ‘feel good’ (Barisan Nasional akan menang) yang kononnya dirasai rakyat.
22 Ogos 2022: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta mana-mana pihak tidak menjadikan alasan bimbang Parlimen akan tergantung bagi menghalang PRU, bermakna beliau setuju PRU diadakan sekalipun Barisan Nasional kalah.
Ini bermakna, Zahid tidak lagi merasai faktor ‘feel good’ dan tidak begitu yakin Barisan Nasional boleh menang, menandakan Zahid didorong oleh faktor lain apabila mendesak parlimen dibubarkan.
27 Ogos 2022: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa desakan untuk PRU15 disegerakan bukan kerana beliau takut kepada hukuman kes rasuah yang dihadapinya, tetapi kerana mandat rakyat perlu dihormati dan ini adalah suara ahli parti.
17 September 2022: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini, mencadangkan beliau terdesak adakan PRU awal atas sebab selain yang dinyatakan sebelum ini.
19 September 2022: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus mendesak supaya parlimen dibubarkan secepat mungkin atas alasan musuh Barisan Nasional sedang memburukan gabungan itu.
Apakah dasar penipu ini yang diperjuangkan Zahid?
Banyak lagi contoh kepincangan dalam kepimpinan Zahid yang menyebabkan majoriti pemimpin bahagian dan cawangan tidak lagi berpihak kepada pucuk kepimpinan parti dan kerap memboikot perhimpunan yang dianjurkan oleh Zahid.
Ini termasuklah penipuan kononnya UMNO tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, sedangkan Zahid secara rahsia menulis surat kepada Istana Negara bagi menzahirkan sokongan beliau terhadap Anwar sebagai calon perdana menteri dan menipu kononnya ahli-ahli parlimen Barisan Nasional turut menyokong Anwar.
Apakah ini yang dimaksudkan perjuangan Agama, Bangsa dan Negara?
