“Keputusan RoS untuk tidak meluluskan pendaftaran PEJUANG akan hanya memarakkan lagi gelombang kuasa ketiga yang sudah pasti menjadi pilihan masyarakat majmuk sebaik selepas Parlimen dibubarkan”
Raggie Jessy Rithaudeen
امنو، ڤاس، ڤڤبم ڬويڠ دڤوكول ڬلورا كواس كتيڬ تون محضير
Keputusan Pendaftar Pertubuhan untuk tiba-tiba menolak permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sebaik sebelum Mahkamah membuat keputusan jelas menunjukkan ada unsur campurtangan politik.
Ini disahkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, yang berkata, pihaknya sudah mengemukakan setiap perkara yang diminta jabatan itu.
Menurut Mahathir, Setiausaha PEJUANG, Datuk Amiruddin Hamzah juga sentiasa mengadakan pertemuan dengan pegawai dan Ketua Pengarah RoS untuk memastikan proses pendaftaran dapat dilaksanakan.
Menurutnya, pihak mereka dimaklumkan semuanya dalam keadaan baik dan boleh diluluskan selain ia akan dirujuk kepada Menteri Dalam Negeri.
“Ikut undang-undang, mereka berhak untuk menolak atau mendaftarkan tetapi ROS mengatakan walaupun semuanya baik, dia kena rujuk pada menteri.
“Ini bermakna proses pentadbiran sudah menjadi perkara politikal, melebihi peruntukan dan peraturan undang-undang.
“Kenapa rujuk menteri? Ini tidak diwajibkan mengikut undang-undang,” kata Mahathir dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Kenyataan Mahathir tepat dan menggambarkan betapa cemasnya pihak pentadbiran terhadap aura yang dimiliki oleh Blok Bebas Kuasa Ketiga (BBKK) yang dijangka akan menjadi ‘kingmaker’ selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) gagal didaftarkan secara rasmi suslan campurtangan kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang turut cemas dengan aura yang dibawa oleh Mahathir.
Walaubagaimanapun, PPBM akhirnya menjadi ‘kingmaker’ biarpun terpaksa bertanding di bawah bendera PKR yang pada ketika itu diterajui oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Kini, setelah lebih dua tahun Barisan Nasional tumbang, penerimaan masyarakat Melayu-Islam terhadap UMNO dan PAS makin merosot, lebih-lebih lagi setelah presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengaku bahawa beliau mempertimbangkan kerjasama dengan DAP.
Pengakuan terkini Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa kemelut politik antara UMNO dan PPBM berkisar di sekitar kes-kes Mahkamah membabitkan Team A turut merupakan bukti segala apa yang dilakukan oleh Zahid dan Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga kini hanyalah untuk menyelamatkan tengkuk mereka, bukannya untuk menyatukan ummah.
Keputusan Pilihan Raya Kecil di Chini dan Slim turut membuktikan gandingan UMNO dan PAS yang membelanjakan dana yang begitu banyak tidak menunjukkan sebarang peningkatan berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 jika undi PAS dan UMNO digabung bersama.
Malah, UMNO menunjukkan perosotan teruk dari segi jumlah perolehan undid an kerusi di Sabah ketika Pilihan Raya Negeri baru-baru ini walaupun berkempen seolah-olah ianya Pilihan Raya Umum, bukan negeri.
Manakala itu, BBKK tidak bertanding di Sabah, tetapi memberi sokongan padu kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN) pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.
Disebabkan itu, WARISAN menunjukkan peningkatan prestasi yang amat menggalakkan, sekaligus membuktikan penerimaan rakyat terhadap Mahathir.
Jumlah perolehan kerusi dan undi WARISAN turut melebihi parti pimpinan Perdana Menteri (PPBM) sebanyak dua kali ganda, sekaligus bermakna rakyat lebih rela Mahathir mentadbir kerajaan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PRN Sabah turut menyaksikan PKR hampir pupus ditenggelamkan rakyat Sabah selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau memiliki sokongan majoriti “hampir dua per tiga.”
Ini bermakna, rakyat menolak terus kepimpinan Anwar dan muak dengan politik ‘persepsi murahan’ yang dimainkannya bersama ota-otai upahannya.
Banyak lagi sebab mengapa masyarakat Melayu-Islam makin meluat terhadap UMNO, PPBM dan PAS, termasuk poltik dua darjat yang dimainkan oleh pihak pentadbiran dan “kemaruk kuasa tahap gaban” yang jelas dipamirkan oleh majoriti pemimpinnya.
PPBM pula ketandusan sokongan dari akar umbi, pemimpin bahagian dan cawangan apabila dua per tiga daripada segmen ini beralih sokongan kepada BBKK tidak lama selepas Mahathir dipecat secara tidak kehormat dari parti itu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku dan mula sedar bahawa PPBM hanyalah sekadar jasad yang tidak berjiwa tanpa kehadiran Mahathir kerana Mahathir-lah PPBM dan segala-galanya bagi akar umbi parti itu.
Keputusan PPBM untuk berganding bahu dengan puak kleptokrat dan keputusan Muhyiddin untuk membenarkan keanggotaan bukan Muslim dalam parti itu turut merupakan faktor penyebab pengunduran akar umbi dan pemimpin bahagian secara besar-besaran.
Kesemua ini memperkukuhkan lagi kedudukan BBKK yang sudah pasti akan merampas sekurang-kurangnya 30 kerusi dari PPBM dan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Keputusan RoS untuk tidak meluluskan pendaftaran PEJUANG akan hanya memarakkan lagi gelombang kuasa ketiga yang sudah pasti akan menjadi pilihan masyarakat majmuk sebaik selepas Parlimen dibubarkan.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
