“UMNO resah melihatkan peralihan undi Bumiputra Muslim dalam peratusan tertentu kepada calon-calon DAP di Sabah, menandakan kehilangan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional bukan hanya disebabkan MCA, tetapi UMNO sendiri”
Raggie Jessy Rithaudeen
UMNO nampaknya tidak mampu menerima proses demokrasi dalam ertikata sebenar dan ingin menghukum kaum Cina di Sabah kerana tidak mengundi calon MCA di Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.
Menyedari bahawa masyarakat Cina sekali lagi menolak MCA dan memberikan sokongan padu terhadap DAP, Tan Sri Annuar Musa berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak perlu melantik menteri Kabinet daripada bangsa Cina.
“Saya bercakap dengan rakan kami Bersatu (PPBM) pada malam kerajaan negeri dibentuk dan menyedari tiada wakil rakyat Cina di pihak kami.
“Jika melihat tradisi Sabah, daripada tiga jawatan Timbalan Ketua Menteri, seorang bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam dan yang terakhir Cina.
“Tetapi sukar apabila tiada wakil rakyat Cina dipilih, rakyat telah buat keputusan dan kami akan menghormatinya,” katanya.
Walaubagaimanapun, di dalam proses demokrasi yang dipraktikkan di Malaysia, parti yang membentuk kerajaan tidak hanya bertanggungjawab terhadap suku kaum yang mengundinya, tetapi masyarakat majmuk secara keseluruhannya.
Malangnya, UMNO tidak berminat melantik menteri Kabinet yang mampu mewakili masyarakat Cina dan ingin bertumpu lebih kepada masyarakat bukan Cina, khususnya Melayu-Islam dan Bumuiputra Muslim yang mengundinya.
Annuar lupa, UMNO bertanding di Sabah bawah tiket Barisan Nasional yang merupakan gabungan berbilang bangsa dan memenangi 14 kerusi atas tiket itu.
Kata-kata Annuar menggambarkan UMNO kini tidak ada pilihan melainkan bersikap “ultra-Melayu” dan “anti-Cina” disebabkan prestasi UMNO yang merosot di Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini.
Saya difahamkan, UMNO resah melihatkan peralihan undi Bumiputra Muslim dalam peratusan tertentu kepada calon-calon DAP, menandakan kehilangan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional bukan hanya disebabkan MCA, tetapi UMNO sendiri.
Memandangkan Barisan Nasional gagal meraih kembali sokongan Cina sejak Pilihan Raya Umum ke-13, UMNO terpaksa memainkan isu-isu perkauman bersifat anti-Cina untuk mengelakkan lebih ramai Bumiputra Muslim daripada menolak parti itu.
Ini terbukti apabila ketua pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, cuba mempersoalkan penggunaan Bahasa Melayu dalam portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika kempen Pilihan Raya Negeri.
Pada 22hb September 2020, saya menulis:
Menurut Asyraf, pihaknya memandang serius kewujudan laman bahasa Mandarin milik SPRM kerana ianya melanggar Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Saya mengaku, akta itu jelas memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan perlu digunakan untuk urusan rasmi.
Walaubagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan sama sekali tidak melarang sesiapa menterjemahkan dokumen rasmi yang telahpun ditangani dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan.
Inilah yang gagal diceritakan oleh Asyraf.
Asyraf juga lupa menceritakan bahawa laman versi Mandarin milik SPRM diwujudkan pada tahun 2015 di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak dan diterima oleh semua pemimpin UMNO.
Kewujudan laman Mandarin sejak 2015 lagi disahkan sendiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil.
Hari demi hari, UMNO dilihat makin rasis dan kerap memainkan isu bersifat anti-Cina walaupun isu yang dimainkan itu rekaan semata-mata dan tidak berpaut pada kebenaran.
Kini, di Sabah, UMNO sanggup membelakangkan pilihan demokratik masyarakat Cina dan menghukum mereka kerana tidak mengundi MCA.
Tindakan ini boleh ditafsirkan sebagai ugutan terhadap orang Cina agar mereka menyokong MCA di Pilihan Raya Umum ke-15.
Ya, kepimpinan UMNO sememangnya terdesak kerana tahu parti itu tidak akan mendapat sokongan Cina pada Pilihan Raya Umum yang bakal diadakan tidak lama lagi dan dijangka mencatatkan prestasi paling buruk dalam sejarah.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
