“Oleh kerana jerat yang dipasang oleh PPBM terkena sasaran, kumpulan promidi dan pronuar kini sedang berusaha menyelamatkan tengkuk masing-masing dengan menangkis dakwaan bahawa gerakan mengetepikan Ahmad Faizal dibuat sebagai ‘balasan’ apa yang berlaku di Sabah. Malangnya, nasi sudah menjadi bubur, dan kini pengundi Melayu-Islam boleh melihat sendiri siapa itu Zahid Hamidi dan siapa itu Najib Razak, dan sedar, bahawa perjuangan ‘penyatuan ummah’ yang dijaja selama ini semuanya pembohongan bagi mengaburi mata pengundi Melayu-Islam”
Raggie Jessy Rithaudeen
Terdapat dua versi berlainan yang sedang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO berhubung kemelut kepimpinan yang melanda kerajaan negeri Perak, satu oleh kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim (pronuar) bersama kumpulan penyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (promidi), dan satu lagi oleh kumpulan penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (proyiddin).
Menurut kumpulan pronuar, usaha mengenepikan Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan Menteri Besar Perak bermula kira-kira dua bulan lalu, selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26hb September 2020.
Menurut sekutu rapat Anwar, Datuk Seri Nazri Aziz, usaha itu dimulakan selepas Ahmad Faizal melantik Adun Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim, sebagai setiausaha politiknya tanpa berunding terlebih dulu dengan Umno.
“Itu menjadi detik penentuan kepada kami,” katanya sepertimana yang dilaporkan oleh Astro Awani.
Nazri merupakan watak utama kumpulan pronuar yang kini bersekongkol dengan kumpulan promidi untuk menjalin kerjasama politik dengan Anwar, disokong hanya oleh tujuh hingga lapan ahli parlimen dari UMNO.
Seperti pronuar, promidi turut mendakwa bahwa Ahmad ditolak oleh UMNO Perak kerana tidak menghormati parti itu yang memiliki kerusi terbanyak (25 kerusi) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Menurut laporan, Nazri menafikan spekulasi bahawa gerakan mengetepikan Ahmad Faizal dibuat sebagai ‘balasan’ apa yang berlaku di Sabah apabila pemimpin PPBM dilantik menjadi ketua menteri.
Tetapi spekulasi itulah yang menjadi bahan makanan kumpulan proyiddin, yang mendakwa usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal merupakan hasil kompromi di mana UMNO bersetuju menyerahkan kerusi Ketua Menteri Sabah kepada PPBM dengan syarat kerusi Menteri Besar Perak harus dipulangkan kepada UMNO.
Perkara ini turut diakui oleh wakil Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi, yang berkata usul itu sebenarnya bukanlah disebabkan UMNO memberi tekanan dengan menggerakkan usaha menjatuhkan orang nombor dua di dalam Bersatu itu tetapi sebaliknya menjadi jalan keluar kepada Ahmad Faizal untuk menjawat jawatan di peringkat Persekutuan.
Sejauh manakah kebenran versi-versi ini?
Menurut pemahaman saya, kesemuanya bermula dari rancangan Menteri Besar Perak untuk mengembangkan hutan simpan berdekatan Meru Valley Golf Resort dan rancangan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk menukar tanah kediaman seluas 32.49 ekar dari kepadatan rendah ke sederhana (artikel bersambung di bawah)
Frustrated Ipoh residents urge Perak Menteri Besar to step in before ‘it’s too late’ [docs included]
Berdasarkan perbualan saya dengan beberapa pihak berkepentingan, ramai yang menentang tindakan MBI menandakan kawasan rizab kekal seluas 151,18 hektar di Banjaran Bukit Kiedang Saiong untuk pembangunan bercampur dan pertukaran status tanah tersebut.
Ada dakwaan kononnya beberapa keputusan yang diambil oleh Ahmad Faizal sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah menyebabkan pihak Istana Perak tidak berpuas hati dengan prestasinya sebagai Menteri Besar, namun saya tidak ingin menyentuh perkara ini dengan lebih mendalam memandangkan ianya perkara sensitif.
Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah Ahmad Faizal mengalami banyak kekangan dalam melaksanakan tanggungjwabnya dan sememangnya bersedia untuk meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak.
Kemudian, apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi PRN Sabah, kepimpinan PPBM dikatakan bersetuju untuk melepaskan jawatan Menteri Besar Perak kepada UMNO sekiranya Datuk Seri Bung Moktar bersetuju untuk melepaskan jawatan Ketua Menteri Sabah kepada PPBM.
Syaratnya, UMNO perlu mendapat sokongan cukup Ahli Dewan Undangan Negeri Perak untuk menolak Ahmad Faizal menerusi usul percaya yang akan dibenarkan oleh Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Perak.
Saya difahamkan bahawa kumpulan promidi bersetuju dengan syarat ini. Malangnya, promidi tidak dapat melihat niat sebenar PPBM yang kini menjadi nyata setelah Ahmad Faizal kalah dalam undi percaya yang baru dibentangkan.
Hakikatnya, PPBM memang merancang untuk memindahkan Ahmad Faizal ke peringkat kerajaan persekutuan dan dikatakan telah memasang jerat bagi UMNO di Perak.
Berdasarkan apa yang dimaklumkan kepada saya oleh sumber dalaman UMNO dan PPBM secara berasingan, syarat yang ditetapkan oleh PPBM kepada UMNO selepas PRN Sabah adalah tindakan “membunuh tiga ekor burung dengan satu batu,” kerana:
1. PPBM berjaya buktikan bahawa UMNO sanggup bersekongkol dengan DAP dan PKR untuk merebut kuasa
2. PPBM berjaya buktikan bahawa UMNO sanggup bekerjasama dengan DAP untuk mengaibkan pemimpin Muafakat Nasional.
3. PPBM berjaya buktikan bahawa UMNO tidak boleh bekerjasama dengan Perikatan Nasional (yang turut dianggotai PAS) di Pilihan Raya Umum ke-15.
Berdasarkan ketiga-tiga perkara di atas, nyata bahawa dakwaan saya selama ini berhubung ketersediaan Zahid dan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan bukannya retorik semata-mata.
Oleh kerana jerat yang dipasang oleh PPBM terkena sasaran, kumpulan promidi dan pronuar kini sedang berusaha menyelamatkan tengkuk masing-masing dengan menangkis dakwaan bahawa gerakan mengetepikan Ahmad Faizal dibuat sebagai ‘balasan’ apa yang berlaku di Sabah.
Malangnya, nasi sudah menjadi bubur, dan kini pengundi Melayu-Islam boleh melihat sendiri siapa itu Zahid Hamidi dan siapa itu Najib Razak, dan sedar, bahawa perjuangan ‘penyatuan ummah’ yang dijaja selama ini semuanya pembohongan bagi mengaburi mata pengundi Melayu-Islam.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
