
“Niat saya di sini adalah untuk memperbetulkan pemahaman dan persepsi rakyat terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perkara-perkara meilbatkan perkembangan politik semasa, tidak lebih dari itu”
Raggie Jessy Rithaudeen
Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof jauh tersasar dari segi pemahamannya terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perkara-perkara meilbatkan perkembangan politik semasa.
Menurut laporan portal berita Malaysiakini, Ariff menolak usul Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal untuk memulakan usul undi percaya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya telah rneneliti usul yang dikemukakan oleh YB Datuk Seri Panglima (Shafie Apdal) serta perincian penjelasannya.
“Berdasarkan penjelasan yang dinyatakan dalam usul tersebut, saya rnendapati ia adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan YAB Perdana Menteri.
“Oleh yang demikian, saya tidak membenarkan usul YB Datuk Seri Panglima ini dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat,” Ariff dilaporakan sebagai berkata.
Ariff dikatakan telah menyampaikan keputusannya kepada Shafie menerusi sepucuk surat sebagai balasan kepada notis yang dihantar oleh Shafie untuk membawa usul percaya terhadap Mahathir.
Malangnya, kenyataan Ariff tidak berpaksi pada kebenaran.
Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan kepada Ariff beberapa perkara berhubung peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam hal pelantikan Perdana Menteri dan barisan Jemaah menteri.
Untuk makluman, kuasa-kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri adalah seperti berikut:
1. Perkara 32(1) dan Perkara 39
Perkara 32(1): Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana- mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.
Perkara 39: Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.
2. Perkara 40(2), 40(2)(a), 43(1) dan 43(2)
Perkara 40(2): Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;
Perkara 43(1): Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam: penjalanan fungsinya.
Perkara 43(2): Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:
(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen;
Kesemua peruntukan ini relevan ketika suatu pelantikan dibuat atau perlu dibuat, bukannya selepas pelantikan dibuat.
Pada ketika pelantikan dibuat, Yang di-Pertuan Agong (menurut Perkara 43(2)(b)) akan melantik seorang Perdana Menteri yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Walaubagaimanapun, pihak yang dilantik tidak semestinya mampu mengekalkan kepercayaan berkenaan melangkaui tempoh tertentu selepas lantikan dibuat.
Justeru, adalah menjadi hak mana-mana ahli Dewan Rakyat untuk mengusulkan undi percaya terhadap mana-mana ahli parlimen bagi menilai sekiranya ahli parlimen berkenaan mendapat sokongan majoriti Dewan.
Begitu juga, adalah menjadi hak mana-mana ahli Dewan Rakyat untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri bagi menilai sekiranya beliau mendapat sokongan majoriti Dewan.
Kesemua ini sejajar dengan kehendak sistem demokrasi berparlimen yang telah dipraktikkan di negara ini.
Pengusulan undi-undi ini sama sekali tidak mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan Perdana Menteri sepertimana ianya termaktub dalam perkara-perkara 40(2), 40(2)(a), 43(1) dan 43(2).
Ini memandangkan undi yang diusulkan bukanlah undi bagi mempertikai kuasa agong atau menilai sokongan terhadap Perdana Menteri tetapi sokongan terhadap seorang ahli parlimen yang tidak memegang jawatan Perdana Menteri.
Juga, undi ini diusulkan beberapa minggu selepas pelantikan Perdana Menteri dan bertujuan menilai sokongan terkini ahli-ahli Dewan Rakyat terhadap Mahathir dan bukannya sokongan Dewan terhadap Mahathir pada ketika lantikan Muhyiddin dibuat.
Jadi jelaslah di sini bahawa Ariff tidak begitu memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perkara-perkara meilbatkan perkembangan politik semasa dan sedang membuat tafsiran beliau sendiri daripada merujuk kepada pakar perundangan.
Apa pun, niat saya di sini adalah untuk memperbetulkan pemahaman dan persepsi rakyat, tidak lebih dari itu
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
