Video: Musa Hassan nafi dakwaan Sarawak Report

“Saya rasa benda ini tidak betul kerana akaun dah tutup pada 30 Ogos tapi bayaran (dibuat) pada 11 September 2013 dan 17 Feb 2014. Bagi saya tidak betul”

PETALING JAYA: Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menegaskan laporan Sarawak Report yang mendakwa Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Razak membayar peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta adalah satu pembohongan.

Menurutnya, bagaimana transaksi berkenaan boleh dilakukan sedang akaun Najib di Ambank telah ditutup pada 30 Ogos 2013.

“Saya rasa benda ini tidak betul kerana akaun dah tutup pada 30 Ogos tapi bayaran (dibuat) pada 11 September 2013 dan 17 Feb 2014. Bagi saya tidak betul,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Minggu lalu, Sarawak Report yang memetik kertas siasatan yang kononnya bocor melaporkan bahawa Najib membayar Shafee dari akaun sama miliknya di mana dana SRC dipindahkan.

Shafee bertindak sebagai ketua pendakwa dalam kes liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila perkara itu dibawa ke mahkamah rayuan dan persekutuan.

Menurut Musa, beliau juga pernah menjadi mangsa fitnah seperti itu apabila didakwa menerima wang daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Perdana Menteri bagi menyiasat tuduhan liwat yang pertama terhadap Anwar pada tahun 1998.

“Dulu masa saya menyiasat kes liwat pertama, saya pun difitnah, mengatakan saya terima RM5 juta daripada Mahathir, diletakkan dalam akaun saya di Singapura.

“Bagi saya tak betul la kerana saya tak terima pun duit RM5 juta,” kata Musa.

Malah katanya, tuduhan bahawa Shafee menerima wang untuk memenjarakan Anwar adalah satu pembohongan yang besar.

Selain itu, penyebaran daripada laman sesawang Steadyaku47 juga kononnya beliau dihubungi Najib berhubung kes Altantuya adalah palsu.

Katanya, tuduhan itu seolah-olah dia dimaklumkan oleh Najib bagi ‘representation’ Shafee terhadap Razak Baginda.

Tambahnya, Najib tidak pernah menghubungi beliau pada masa dan tarikh yang didakwa.

“Untuk makluman semua pada 8 November 2006 saya tidak ada di Kuala Lumpur. Saya pada masa itu berada di Perak, menghadap Sultan Perak. Jadi bagaimana tuduhan mengatakan Najib ada bercakap dengan saya?” demikian soalnya.

Susulan itu, Musa meminta polis mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan fitnah terbabit.

“Saya berharap pihak polis mengambil tindakan di bawah Akta 182 bawah kanun keseksaan kerana memberikan maklumat palsu bagi tujuan untuk memudaratkan seseorang.

“Jadi ini adalah satu perbuatan yang salah daripada segi undang-undang,” katanya.

Sumber: Malaysia Today

Comments

Comments