Salleh Said Keruak
1. Saya sedih apabila pemimpin pembangkang mencaci penyokong UMNO dan BN dengan bahasa yang tidak sewajarnya. Misalnya, Mat Sabu menghukum agamawan yang bersama UMNO dan BN sebagai berfahaman celaka, Mahathir mengeluarkan fatwa berdosa mengundi PAS dan BN, dan Muhyiddin pula menggelarkan orang UMNO dan BN sebagai kaum jahiliah.
2. Kenapa sampai begitu? Kenapa perlu kita berkata sedemikian kepada saudara seagama hanya kerana perbezaan dan persaingan politik? Sebagai pemimpin parti yang berjuang untuk rakyat, tidak perlulah kita mencarut. Cukuplah sekadar kita menggariskan hala tuju perjuangan parti dan mengkritik kelemahan kerajaan BN. Saya fikir itu lebih beradab daripada menggelarkan sesama kita dengan bahasa yang tidak bertamadun.
3. Saya merasakan 3M di atas berkata sedemikian kerana hendak menggembirakan parti dalam pakatannya, DAP. Mereka percaya DAP boleh membawa mereka ke Putrajaya.
4. Yakinlah, andaian sedemikian salah. Jalan untuk ke Putrajaya tidak sesuai dengan strategi kempen sebegitu. Rakyat muak dengan politik kebencian sebegini. Yang rakyat dambakan ialah politik matang, politik menggunakan isu dan strategi kempen yang beradab, politik yang menyentuh keperluan rakyat dan perjuangan untuk rakyat.
Source: sskeruak.blogspot.my
