TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
Raggie Jessy Rithaudeen
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan hari ini dilaporkan mengecam laporan polis yang mendakwa parti itu menerima komisen RM500 juta kerana membantu Putrajaya mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs berkait skandal kewangan 1MDB.
Beliau mendakwa, strategi memfitnah memang sudah lama diamalkan oleh parti-parti pembangkang dan kini melibatkan usaha tersusun untuk mencemar imej baik Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Hakikatnya Muhyiddin telah membuktikan bahawa beliau seorang perdana menteri yang dihormati kerana beliau tegas memberi tumpuan kepada menjaga kebajikan rakyat.
“Tetapi saingan politik beliau sedang cuba merosakkan imej ini dengan tohmahan yang bertubi-tubi kerana mereka tahu mereka tidak mempunyai calon perdana menteri yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pertama sekali, ingin saya nyatakan di sini bahawa tidak ada sesiapa pun yang mengaitkan Muhyiddin dengan dakwaan PPBM menerima RM500 juta melainkan Wan Saiful sendiri dalam kenyataannya terkini.
Kedua, jika benar laporan polis yang dibuat oleh pejabat Adun Kuang Sallehudin Amiruddin melibatkan unsur fitnah, ini bermakna laporan yang dibuat itu laporan palsu andai kata benar apa yang dikatakan oleh Wan Saiful.
Ini merupakan satu tuduhan yang amat berat, dan Wan Saiful harus membuat laporan polis dengan kadar segera daripada berleter tak tentu hala di media seperti nenek tua.
Wan Saiful harus sedar bahawa tindakan membuat laporan polis palsu merupakan tindakan jenayah dan boleh didakwa bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak lebih enam bulan dan denda sehingga RM2000 ataupun kedua-duanya sekali.
Jadi usahlah berleter panjang kononnya wujud strategi “pembunuhan watak” dan terus ke balai polis terdekat untuk membuat laporan berserta bukti wujud unsur fitnah dalam laporan yang dibuat oleh pejabat Sallehudin Amiruddin.
