Wanita UMNO bawa semangat Siti Rahmah bantu DS Najib Razak

Dr Noraini Ahmad

Wanita UMNO hari ini menyerahkan hasil kutipan sumbangan berjumlah RM261,286 beserta 2 utas gelang emas yang dikumpulkan oleh ahli-ahli Wanita UMNO dari seluruh negara kepada YB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, mantan Presiden UMNO, bagi membantu menyediakan wang ikat jamin yang perlu dibayar oleh beliau pada 9 Julai 2018.

Termasuk dalam sumbangan ini merupakan RM3,000 yang diperolehi oleh Datuk Zaleha Bujang, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jasin yang rela hati melelong gelang emas miliknya dan telah dibeli oleh seorang individu. Terdapat juga tawaran-tawaran lain dari ahli-ahli Wanita UMNO untuk melakukan perkara sama demi mendapatkan lebih kutipan dalam menyumbang kepada usaha ini.

Ini bukan kali pertama Wanita UMNO berkorban harta peribadi untuk membantu pemimpin parti. Semangat Allahyarhamah Datuk Siti Rahmah Kassim yang menyerahkan gelang emasnya untuk membiayai perjalanan Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London pada tahun 1957 untuk menuntut kemerdekaan negara terus membara dalam jiwa setiap ahli Wanita UMNO.

Wanita UMNO berjanji akan terus bersama keluarga besar UMNO yang berpegang teguh kepada semangat setiakawan dan perpaduan di ketika senang dan susah. Wanita tekad mempertahankan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara, ketika pemimpin itu masih memimpin mahupun setelah mereka melepaskan jawatan. Solidariti ahli-ahli UMNO ini akan terus menjadi kekuatan parti menempuh cabaran yang sedang didepani ketika ini.

Sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO, saya berasa amat bangga dan terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh ahli-ahli Wanita UMNO di seluruh negara untuk membantu Dato’ Sri Najib. Teruskan menjadi Melayu yang tidak mudah lupa kepada jasa dan bakti pemimpin terdahulu. In shaa Allah, Wanita kekal kukuh membenteng UMNO.

Comments

Comments