Khairuddin Abu Hassan
ورتاون صح بربوهوڠ، ساي سنديري حاضر بوات لاڤورن د ايبو ڤجابت فبي ڤرانچيس مينتا جيجق جهو لوو
Sebenarnya kenyataan wartawan luar negara Tom Wright dan Bradley Hope tidak tepat serta tidak berasas sama sekali. Kedua wartawan ini menyatakan dan mendedahkan kononnya tiada seorang pun dari Malaysia yang minta kerajaan China serah Penyangak Jho Low kepada Malaysia sehingga kini.
Pada tahun 2015 saya sendiri telah pergi membuat laporan ke Ibu Pejabat FBI di Leon, Perancis serta merekodkan laporan bertulis kepada pihak CIA di New York, Amerika Syarikat untuk meminta pihak penguatkuasa undang-undang ini menyiasat kes skandal 1MDB seterusnya menjejaki penyangak Jho Low untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Pada tahun 2018 di atas kebenaran dan persetujuan dari Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu iaitui Tun Dr Mahathir Mohamad, saya terbang buat kali kedua ke Ibu Pejabat FBI di Peranchis dan Ibu Pejabat CIA di New York untuk terus berusaha menjejaki Penyangak Jho Low untuj cuba sedaya-upaya membawa beliau pulang ke Malaysia. Pada waktu itu kita mahu membawa pulang penyangak Jho Low dan menghadapkan beliau ke muka pengadilan di tanahair bersama dengan Najib Tun Razak.
Pelbagai daya-usaha dilakukan untuk meyakinkan Najib Tun Razak bahawa penyangak Jho Low sedang mencuri dana syarikat 1MDB pada waktu itu tetapi orang yang kuat mempertahankan penyangak Jho Low di saat tersebut adalah Najib Tun Razak. Beberapa siri perjumpaan dilakukan dengan Najib Tun Razak sebelum saya terbang ke luar negara untuk buat laporan mengenai kes skandal 1MDB. Kini, baru saya faham mengapa Najib Tun Razak kuat mempertahankan penyangak Jho Low ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia.
Sewaktu saya membuat laporan-laporan kepada pihak penguatkuasa undang-undang di Singapura, Hong Kong, Switzerland, Peranchis, United Kingdom dan Amerika Syarikat pada tahun 2015 turut melaporkan mengenai salahlaku kes skandal 1MDB serta menyebut nama P penyangak Jho Low bersama Najib Tun Razak secara amat jelas.
Bagi pihak PDRM dan SPRM saya tidak tahu apa tindakan kedua-dua badan penguatkuasa undang-undang ini kerana PDRM serta SPRM bertindak mengikut kaedah mereka sendiri tanpa boleh mengumumkan secara terbuka kepada keseluruhan masyarakat.
Pihak PDRM dan SPRM mempunyai ‘SOP’ dalam menjalankan tugasan mereka secara kerahsiaan. Namun, bagi pihak diri saya sebagai seorang individu dan rakyat Malaysia yang membayar cukai telah melaksanakan tanggungjawab ini.
Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai risiko keselamatan ketika menjelajah ke luar negara untuk melaporkan mengenai salah laku kes skandal 1MDB tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab terpaksa dilaksanakan.
Tanggungjawab ini juga dipikul sebagai satu ‘fardhu kifayah’ kerana saya hendak menyelamatkan khazanah kerajaan dan duit rakyat dari terus dirompak oleh Penyangak Jho Low dan Najib Tun Razak.
Niat murni saya juga ketika itu adalah untuk menyelamatkan ekonomi negara kita dari jatuh merudum kerana jumlah dana syarikat 1MDB yang dicuri di saat tersebut melibatkan duit rakyat berpuluhan bilion ringgit.
Tetapi apa yang menyedihkan setelah saya membuat laporan-laporan di enam buah negara tersebut tiba-tiba saya ditangkap dan didakwa di bawah Akta SOSMA oleh pihak PDRM.
Mantan Ketua Polis Negara pada waktu itu membuat kenyataan rasmi beliau ke seluruh dunia menyatakan bahawa saya ditangkap serta didakwa di bawah Akta SOSMA (seksyen 124 C dan 124 L) atas dasar cuba mensabotaj ekonomi dan sistem perbankan negara.
Sebagai orang pertama yang didakwa di bawah Akta SOSMA saya ditahan selama dua minggu di Lokap Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan dua bulan di Penjara Sg Buloh.
Tuduhan dua wartawan luar negara ini tidak tepat, tidak berasas dan meleset sama sekali kerana pada realitinya sudah pun ada tindakan dari rakyat Malaysia sejak tahun 2015 yang mahukan Penyangak Jho Low dibawa pulang untuk dihadapkan ke muka pengadilan bersama Najib Tun Razak.
Penangkapan saya oleh pihak penguatkuasa undang-undang pada waktu melambangkan kesungguhan serta keikhlasan kami melaksanakan wadah perjuangan mulia Tun Dr Mahathir Mohamad untuk selamatkan bangsa serta negara kita.
Sesungguhnya juga, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah menipu dalam mana-mana wadah perjuangan untuk menegakkan kebenaran.
Kehidupan Tun Dr Mahathir Mohamad dapat diibaratkan seperti ‘sebatang lilin’ yang sentiasa membakar diri bagi menerangi penghidupan orang lain. Inilah pengorbanan mulia Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih bersungguh-sungguh pada usia 97 tahun berjuang bagi memartabatkan semula maruah bangsa serta negara.
Apabila Mahkamah Persekutuan membebaskan saya dari Penjara Sg Buloh pada tahun 2016 serta didapati tidak bersalah di atas tahanan yang tidak sah maka saya dedikasikan kemenangan ini kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan keseluruhan rakyat Malaysia.
Baru-baru ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga mengarahkan Kerajaan Malaysia untuk bayar pampasan sejumlah RM300 ribu kepada saya atas dasar penahanan tidak sah dalam melawan kes skandal 1MDB dari tahun 2014.
Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin UMNO mentohmah kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad menipu dalam perjuangan melawan kes skandal 1MDB tetapi kini dengan izin Allah swt telah menunjukkan kebenarannya.
Yang Benar,
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Ketua PEJUANG Wilayah Persekutuan Merangkap
Pengerusi GTA Wilayah Persekutuan 7 Oktober 2022
