“Ya Allah, selamatkan Negara ku, kembalikan kami ke landasan kebenaran menuju keredhaan Ilahi, hapuskanlah kuasa-kuasa pemusnah ini dan kembalikanlah tanah air ku ke tangan mereka yang benar-benar cintakan agama, bangsa dan negara, dan ampunilah dosa mereka yang berkata, “Ampunkanlah Aku Ya Allah” dan “Ampunkanlah Kami Ya Allah. Saya tidak takutkan pemimpin, kerana mereka hanya sekadar manusia, yang saya takutkan hanya Allah SWT, dan kepada Nya saya berserah”
Raggie Jessy Rithaudeen
Malaysia ku tanah air ku, tanah tumpahnya darah ku. Di sini lah akan saya curahkan segala bakti, di sini lah akan saya tumpahkan darah ku selagi ada hayat dalam diri ku, demi mempertahankan agama, bangsa dan negara ku.
Malangnya, rakyat Malaysia tidak lagi bersatu dan maju akibat daripada tindakan segolongan pemimpin pro-kerajaan yang lebih utamakan persengketaan dan pencaturan politik semata-mata kerana ingin mempertahankan kuasa dan kedudukan.
Maka, tidak benarlah apa yang diperkatakan, bahawa perjuangan mereka adalah untuk agama, bangsa dan negara, kerana apa yang mereka perjuangkan selama ini ialah wang, kuasa dan kedudukan (wkk).
Ketahuilah, bahawa dunia mereka ini dihujani berpuluhan ribu ringgit berkat kedudukan mereka di kerajaan dan parlimen, dan kedudukan ini sanggup mereka lindungi dengan apa jua cara sekalipun, biar terpaksa menipu, memutarbelit fakta atau membezakan darjat antara yang berkuasa dan yang tidak.
Ketahui juga, bahawa ada di kalangan mereka ini disabitkan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram, dan ada pula yang dihadapkan dengan berpuluh-puluh tuduhan jenayah yang masih sedang diadili.
Malah, ada yang mengkhianati mandat rakyat dengan memberikan alasan kononnya perlu menubuhkan kerajaan bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam tetapi akhirnya cuba menubuhkan kembali struktur kerajaan yang mereka sendiri tumbangkan.
Saudara saudari sekalian,
Pemimpin yang baik ialah individu yang mampu memberi pengaruh positif kepada individu lain dalam satu-satu pertubuhan, organisasi atau persekitaran, termasuk persekitaran negara yang berpegang pada politik kepartian dan parlimen berperlembagaan sepertimana di negara ini.
Justeru, seorang pemimpin dari belah kerajaan seharusnya memiliki ciri-ciri positif yang boleh disemai dalam minda rakyat agar pengaruhnya dapat membantu usaha mempertahankan dan memartabatkan lagi kemuliaan agama, bangsa dan negara sambil mengekalkan perpaduan antara kaum dan agama.
Malangnya, pemimpin pro-kerajaan hari ini merangkumi sekumpulan individu yang samada disabitkan dengan kesalahan jenayah atau telibat dengan unsur-unsur penipuan dan pengkhianatan tetapi terus menggelarkan diri mereka sebagai ‘pemimpin’.
Mereka dibayar gaji menggunakan wang rakyat, tetapi gagal menjaga kebajikan rakyat dengan cara yang berkesan kerana terlalu sibuk mencatur hingga sanggup membenarkan persengketaan pemimpin seagama yang akhirnya menjurus kepada perpecahan ummah.
Mereka sanggup melakukan semua ini demi kuasa dan kedudukan tatkala rakyat biasa terus dihimpit dengan pelbagai dugaan hidup, akibat daripada kos sara bidup yang meningkat yang tidak diimbangi dengan peningkatan peluang pekerjaan atau sumber pendapatan.
Tidak ada unsur “penyatuan ummah” atau perjuangan agama, bangsa dan negara dalam landasan mereka, yang ada cuma perjuangan untuk “menyelamatkan tengkuk masing-masing” menggunakan landasan politik berunsurkan wang, kuasa dan kedudukan.
Pemimpin pro-kerajaan ini turut dilihat mengamalkan politik “dua darjat” dan “politik petik dalil” dengan menggunakan Musyidul Am PAS untuk menghalalkan kesalahan ‘pemimpin’ mereka dengan memetik kisah-kisah Al-Quran tatkala rakyat biasa dihukum penjara atau dikenakan denda beribu ringgit bagi kesalahan sama.
Anehnya, Musyidul Am yang sama berdiam diri tatkala seorang tokoh negarawan berusia 95 tahun diterajang secara tidak kehormat dari parti yang diasaskannya sendiri biarpun tokoh ini merupakan satu-satunya pemimpin negara yang berani tampil memperjuangkan agama Islam dan hak ummah di arena tempatan dan antarabangsa tanpa memberi muka kepada kuasa-kuasa besar di Amerika Syarikat, Britain dan Israel.
Tersebut juga kisah pemimpin pro-kerajaan yang pada satu ketika dulu bermati-matian ingin sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dihapuskan dengan memetik pelbagai dalil tetapi kini bersalam-salaman dengan peneraju sebuah pertubuhan pendidik Cina yang dahulunya digelar ‘rasis lampau’.
Malah, mereka kini duduk berbincang dengan ‘rasis lampau’ ini untuk menubuhkan lebih banyak sekolah Cina dan cara-cara memperluaskan lagi sekolah Cina yang sedia ada. Bukan saya rasis, tetapi aneh apabila pertubuhan yang mereka ingin haramkan dulu tiba-tiba menjelma menjadi “pertubuhan halal.”
Mereka turut bermati-matian inginkan keadilan untuk arwah Adib berdasarkan keputusan mahkamah koroner tetapi kini mencadangkan diadakan inkues kedua yang jelas tersasar daripada prinsip perundangan res judicata. Bukan saya fanatik, tetapi aneh apabila nasib Adib kini diperjuangkan di parlimen oleh DAP dan AMANAH, bukannya PAS atau UMNO.
Pemimpin pro-kerajaan inilah yang akhirnya menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara tetapi terus menjaja konsep penyatuan ummah malah menghalalkan segala apa yang tidak halal untuk terus berkuasa dengan alasan berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Ya Allah, selamatkan Negara ku, kembalikan kami ke landasan kebenaran menuju keredhaan Ilahi, hapuskanlah kuasa-kuasa pemusnah ini dan kembalikanlah tanah air ku ke tangan mereka yang benar-benar cintakan agama, bangsa dan negara, dan ampunilah dosa mereka yang berkata, “Ampunkanlah Aku Ya Allah” dan “Ampunkanlah Kami Ya Allah.”
Saya tidak takutkan pemimpin, kerana mereka hanya sekadar manusia, yang saya takutkan hanya Allah SWT, dan kepada Nya saya berserah.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
