
يا، ڤقر ده سڠكوت
“Nampak sangat PKR terperangkap apabila cuba “menghalalkan” keputusannya untuk menggunakan logo sendiri, dan saya mengesyaki bahawa ianya bersangkut paut dengan ulasan yang saya sampaikan petang semalam (rujuk YouTube Raggie Jessy Rithaudeen)”
Raggie Jessy Rithaudeen
Logik yang diketengahkan oleh PKR petang tadi berhubung keputusannya untuk menggunakan logo sendiri di Johor bukan hanya merapu, ianya memakan diri kerana dilihat sebagai langkah terdesak bagi menangkis kritikan akar umbi.
Semalam, Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pihaknya memutuskan untuk menggunakan logo sendiri untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang kerana logo Pakatan Harapan (PH) dibayangi era hampir dua tahun pentadbiran mereka sebagai kerajaan persekutuan.
“Kami sentiasa mendengar bahawa logo (PH), baik atau buruk, dikaitkan dengan pentadbiran PH 2018-2020.
“Ia mempunyai pencapaiannya, tetapi juga banyak kekurangan. Ini termasuk kebangkitan puak dalam PKR yang akhirnya mengambil bahagian dalam Langkah Sheraton, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH yang dipilih.
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
Persoalannya, bukankah PH menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14, dan bukankah pengkhianatan mandat rakyat oleh 11 ahli parlimen PKR menerusi Langkah Sheraton “pengkhianatan calon PKR?”
Jadi bagaimanakah PKR boleh memtuskan untuk menggunakan logo sendiri sebagai langkah ‘menebus’ pengkhianatan ini, sedangkan langkah yang seharusnya diambil apabila berdepan dengan rakyat yang dikhianati ialah dengan “menggunakan logo selain logo PKR?”
Nampak sangat PKR terperangkap apabila cuba “menghalalkan” keputusannya untuk menggunakan logo sendiri, dan saya mengesyaki bahawa ianya bersangkut paut dengan ulasan yang saya sampaikan petang semalam.
Dalam ulasan itu (rujuk link di bawah), saya menegaskan bahawa PKR mungkin tidak ingin dikaitkan dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan kerajaan.
LINK: PKR TAKUT LOGO PH?
Disebabkan MoU ini, Pakatan Harapan dilihat sebagai “bersubahat dengan kerajaan UMNO” yang didakwanya gagal, sekaligus menyebabkan rakyat meluat dengan PKR dan DAP dan menganggap kedua-duanya “proksi” Barisan Nasional.
Kesemua ini membawa padah bagi Pakatan Harapan di Melaka dan Sarawak apabila PKR dan DAP dibelasah teruk kerana terus “memberi nyawa” kepada Ismail Sabri.
Semalam, saya menulis:
Pakatan Harapan dilihat membuat pusingan-U berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila memutuskan, secara unilateral, bahawa semua parti pembangkang perlu bekerjasama bagi menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan.
Kenyataan ini bercanggah dengan ugutan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang mengancam untuk menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri jika PRN diadakan di Johor.
TTF dimaklumkan bahawa kepimpinan pusat Pakatan Harapan sebenarnya ditekan oleh pelbagai sayap dan cawangan PKR dan DAP untuk membatalkan MoU bersama kerajaan agar Pilihan Raya Umum boleh dicetuskan.
Sebelum itu, saya menulis:
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan sebagai berkata, kerajaan pimpinan UMNO Johor perlu mendapat mandat yang lebih kukuh dan bukannya memerintah atas ihsan pembangkang.
Hasni berkata demikian ketika mempertahankan keputusan membubarkan DUN Johor, dan menambah, tidak ada pihak yang boleh menafikan bahawa kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil dengan kelebihan satu kerusi sahaja.
Ikutkan logik Hasni, kerajaan pimpinan UMNO di peringkat persekutuan turut perlu mendapatkan mandat yang lebih kukuh dan bukannya memerintah atas ihsan Pakatan Harapan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan.
Menurut MoU tersebut, Pakatan Harapan bersetuju untuk menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri agar Pilihan Raya tidak tercetus selagi masalah kesihatan belum selesai ditangani.
Namun, kedua-dua Pakatan Harapan dan Barisan Nasional kelihatan amat bersedia menghadapi Pilihan Raya, dan perkara ini terbukti di Melaka apabila UMNO menumbangkan kerajaan pimpinannya sendiri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji-muji ADUN-ADUN terbabit.
Malah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO menjadi orang pertama yang mencadangkan Pilihan Raya Negeri daripada menekan diadakan Darurat sebagai memenuhi kehendak MoU untuk elakkan Pilihan Raya awal.
Kenyataan Zahid tidak ditentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.
Kini, di Johor, UMNO terlibat secara langsung dalam usaha mencetuskan Pilihan Raya Negeri, dan Ismail Sabri pula dilihat menghalalkan keputusan Hasni untuk mencetuskan pembubaran DUN Johor.
Justeru, tidak masuk akal jika kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan meneruskan MoU yang ditandatangani.
Sebaliknya, Ismail Sabri perlu menghayati logik Hasni dan menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen dengan kardar segera, agar Pilihan Raya Negeri Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan serentak dan tidak berlaku pembaziran dana rakyat.
WAJIB BACA:
