KENYATAAN MEDIA RASMI
ياب ڤردان منتري هاروس چمڤور-تاڠن ايسو ڤڠامبيلن تانه كامڤوڠ سڬ بارو
YAB Perdana Menteri harus mempertahankan kenyataan beliau pada tahun 2019 di ruang legar Parlimen sebagai Ketua Pembangkang pada waktu itu bahawa kerajaan PH tidak boleh ambil tanah Kampung Sg Baru bagi tujuan pembangunan komersil.
Pemilik tanah Kampung Sg Baru hanya dibayar pampasan sejumlah RM500 satu kaki persegi saja. Malahan, pemilik dan penduduk Kampung Sg Baru bakal dihalau keluar pada 31 Oktober 2022. Ini merupakan satu rompakan ke atas hak rakyat di Kampung Sg Baru secara tidak bermoral dan tidak adil.
Menteri Wilayah Persekutuan sepertimana yang dinyatakan oleh penduduk Kampung Sg Baru tidak berpegang kepada janji-janji beliau. Situasi ini melambangkan pemimpin-pemimpin politik Melayu, pegawai-pegawai kerajaan berbangsa Melayu dan individu-individu Melayu tertentu telah mengkhianati hak orang-orang Melayu di Kampung Sg Baru. Hakikatnya juga, mana boleh tanah ini diambil untuk tujuan pembangunan komersil yang tiada kaitan langsung untuk tujuan kepentingan awam.
Sesungguhnya, sudah sampai masanya YAB Perdana Menteri campur-tangan ke arah menyelamatkan tanah orang-orang Melayu di Kampung Sg Baru. Jangan biarkan satu ‘precedent’ ditetapkan secara menyalahguna kuasa dan salahguna Akta Pengambilan Tanah 1960.
Ini bercanggah dengan undang-undang sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan negara.
Insya-Allah, parti PEJUANG Wilayah Persekutuan tetap komited untuk membantu warga penduduk Kampung Sg Baru bagi menyelamatkan tanah mereka. Warga Kampung Sg Baru harus dibela serta dibantu. Ini bukan isu untuk dipolitikkan tetapi ini adalah permasalahan rakyat yang mesti kita selesaikan secara konkrit.
Nasib anak bangsa serta rakyat akan tetap dibela oleh PEJUANG Wilayah Persekutuan demi mempertahankan hak mereka yang memilikki geran tanah secara sah.
Yang Ikhlas,
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Ketua PEJUANG Wilayah Persekutuan
