Anwar minta bekas pegawai penyiasat kes liwat 2 buat kenyataan media palsu (Bahagian Tiga)

“Benarkah ada rahsia Najib yang dipegang oleh Anwar menyebabkan Najib teramat takut dan tidak berani mengambil tindakan? Benarkah Anwar tidak pernah mendedahkan rahsia Najib kerana tahu dari awal lagi bahawa rahsia itu akan ‘mengikat’ Najib dan merupakan ‘kunci’ untuk Anwar menjadi Perdana Menteri? Saksikan pendedahan ini secara live 10 pagi ini (3hb Februari) di Facebook Raggie Jessy Rithaudeen (KIK SINI)

Raggie Jessy Rithaudeen

انور مينتا بكس ڤڬاواي ڤنڽياسات كيس لواط 2 بوات كڽاتأن ميديا ڤلسو

Selama dua hari berturut-turut, saya menerbitkan bahagian pertama dan kedua satu siri pendedahan yang menceritakan perihal perjanjian sulit yang dimasuki oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Najib Tun Razak (rujuk link bahagian pertama dan kedua di hujung bawah) pada 2013.

Dalam artikel berkenaan, saya menceritakan peranan yang dimainkan oleh mantan Naib Presiden Indonesia Muhammad Jusuf Kalla sebagai orang tengah dalam rundingan antara Najib dan Anwar sebelum satu perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua pemimpin berkenaan.




Mungkin ada yang tertanya-tanya apa tujuan saya menerbitkan artikel-artikel berkenaan memandangkan video yang diselitkan bersama, iaitu naratif keseluruhan perjanjian yang dimaksudkan, telahpun didedahkan beberapa tahun lalu.

Ya, memang ada pihak yang pernah mendedahkan kemungkinan wujudnya kes liwat 3.0, perjanjian sulit antara Najib dan Anwar, penglibatan Jusuf Kalla dan janji Najib bahawa Anwar akan dijadikan Timbalan Perdana Menteri seandainya Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

Jadi mengapa saya terbitkan artikel-artikel berkenaan?

Ada beberapa perkara berhubung perjanjian tersebut yang tidak pernah diceritakan, antaranya:

1. Najib memegang rahsia Anwar sama seperti Anwar memegang rahsia Najib.

2. Rahsia Anwar bersangkut paut dengan kes liwat 3.0 melibatkan seorang individu yang telah saya namakan (rujuk bahagian pertama dan kedua di hujung bawah).

3. Rahsia Najib akan diceritakan bila sampai masanya, walaupun ada sumber yang berpendapat ianya bersangkut paut dengan kes pembunuhan Altantuya.

4. Amat jelas Najib lebih takutkan rahsianya dibocorkan oleh Anwar berbanding dengan ketakutan yang ada pada diri Anwar jika rahsianya dibocorkan oleh Najib.

Loading...

5. Ini memandangkan Najib tidak berani membocorkan rahsia Anwar sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) walaupun Anwar terang-terang memungkiri “gencatan politik” yang dimasukinya bersama Najib, disaksikan oleh Jusuf Kalla.

6. Najib turut dikatakan ‘menutup’ kes liwat 3.0 walaupun pihak yang diliwat membuat Akuan Bersumpah dan dibawa oleh polis ke pusat perubatan untuk mendapatkan sampel sebagai bahan bukti.

Apakah yang ditakutkan oleh Najib?

Kita akan sampai ke soalan ini dalam bahagian-bahagian yang akan datang. Yang saya lihat, Najib ‘terikat’ dengan Anwar sehingga kini kerana rahsia yang dipegang oleh Anwar.

Begitu juga Anwar – walaupun Anwar tidak setakut Najib, beliau khuatir kes liwat 3.0 akan meletup dan meletakkan titik noktah pada karier politiknya.

Adalah disyaki bahawa Anwar akan ‘menengelamkan’ Najib yang sudah hampir lemas seandainya kes liwat 3.0 meletup.

Ini mungkin menjelaskan mengapa Najib tidak berbuat apa-apa apabila saya mendedahkan pengakuan mengejutkan oleh Jude Pereira dan mengapa Najib tiba-tiba rela bekerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan.

Pengakuan mengejutkan oleh Jude Pereira?

Ya.

Pada 20hb Febuari 2015, saya mendedahkan perbualan saya bersama mantan Timbalan Superintendent Polis, Jude Pereira, yang merupakan pegawai penyiasat kes liwat II melibatkan bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Pendedahan itu dibawa oleh semua media arus perdana dan menjurus kepada reaksi oleh beberapa individu yang telah saya namakan, termasuk mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Dalam testimoninya bertarikh 4hb February 2010, Saiful mendedahkan bahawa Dr Mohamed Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi yang sedang merawatnya tiba-tiba menghentikan pemeriksaan apabila Saiful mendedahkan bahawa dirinya telah diliwat.

Saya menulis:

Saiful menjelaskan bahawa Dr. Mohamed Osman telah memaklumkan bahawa hospital itu tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan pemeriksaan foreksik yang bersesuaian dengan kes tersebut. Tambahannya lagi, laporan daripada hospital swasta tidak akan menjadi satu keterangan yang kukuh di dalam mahkamah undang-undang.

Atas penjelasan dan nasihat Dr. Mohamed Osman, Saiful seterusnya ke Hospital Kuala Lumpur di mana beliau telah bertemu dengan Dr. Daniel. Saiful secara berterus terang menyatakan tujuannya ke hospital tersebut. Seperti yang diperkatakan oleh Saiful sendiri, “Saya memberitahu secara terus terang bahawa saya hendak mendapatkan pemeriksaan perubatan kerana saya telah diliwat oleh Dato’ Anwar Ibrahim. Dia kelihatan terkejut dan menulis nota untuk saya dirujuk ke wad kecemasan.”

Apa yang Jude dedahkan?

Pada ketika kes liwat II mula-mula meletup, Anwar konsisten dengan tuduhan konspirasi terhadap Kerajaan Malaysia untuk memenjarakan beliau.

Malah, Ketua Pendakwaraya pada ketika itu, Tan Sri Mohd Shafee Abdullah, berkata “Anwar sekali lagi membuat pertuduhan konspirasi sama yang dibuatnya olehnya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.”

Hari ini, Shafee merupakan peguam bela dalam kes 1MDB melibatkan Najib.

Apa yang menarik ialah Anwar memilih Jude dari kalangan berpuluh-puluh anggota polis yang terlibat dengan siasatan liwat II dan mendakwa Jude telah berpakat dengan Kerajaan Malaysia untuk menjatuhkan karier politik dirinya.

Selepas bersara, Jude berpindah ke Ipoh. Saya kerap bertemu dengan Jude pada satu ketika dulu samada di kafe ataupun di rumahnya di mana kami membuat sesi “jamming” lagu-lagu lama menggunakan gitar elektrik.

Berikut merupakan penulisan saya pada 20hb Febuari 2015 menerusi portal Malaysia Today milik Raja Petra Kamarudin (Blog The Third Force belum wujud pada ketika itu). Selepas anda habis membaca naratif ini, saya akan membuat kesimpulan yang sudah pasti akan membuatkan anda tertanya-tanya apa yang mengikat Najib kepada Anwar:

Beberapa bulan selepas PRU13, saya bertemu dengan Jude di kediamannya di Ipoh. 

Jude menceritakan pengalamannya kepada saya dengan begitu jelas, seolah-olah kejadian itu baru sahaja berlaku semalam. 

Saya agak terkejut apabila mengetahui terdapat kemungkinan penglibatan yang lebih mendalam oleh Tan Sri Musa, Sanjeevan dan Anwar Ibrahim sendiri. 

Saya kemudiannya memujuk Jude untuk membenarkan saya menerbitkan artikel ini demi kepentingan negara.

Namun, Jude mengingatkan saya bahawa kes ini masih lagi berjalan dan apa yang diperkatakan akan mempunyai impak terhadap kes tersebut. 

Dengan itu, saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perkara itu dengan lebih lanjut.

Kemudian, sebaik sahaja keputusan terhadap Kes Liwat II Anwar Ibrahim dibacakan oleh Ketua hakim Tun Arifin Zakaria, saya menghubungi Jude melalui telefon untuk melakukan pendedahan yang berkaitan dengan pengalaman Jude kepada orang ramai tanpa perlu rasa takut ataupun prejudis.

Dengan itu, berikut adalah pengalaman peribadi Jude dengan Tan Sri Musa dan Sanjeevan sebelum PRU13. (Ditulis sendiri oleh Jude dan dipersetujui oleh saya dan Jude untuk diterbitkan)

” Kira-kira seminggu sebelum PRU13, saya berada di rumah saya di Ipoh apabila Tan Sri Musa, bekas Ketua Polis Negara menghubingi saya. Beliau meminta untuk berjumpa dengan saya di rumahnya di PJ. Beliau tidak memaklumkan apa-apa sebab untuk saya berjumpa dengannya tetapi saya cuma dapat rasakan bahawa ia berkaitan dengan tawaran kerja sebagai pensyarah yang pernah beliau tawarkan sebelum ini. Saya telah memberitahu bahawa saya boleh berjumpa dengannya pada hari Rabu berikutnya dalam jam 3 petang dan beliau bersetuju.

“Sebelum saya mendapat panggilan telefon daripada TS Musa, seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Sanjeevan, Pengerusi kepada Crime Watch Malaysia, juga telah menghubungi saya beberapa kali dan meminta saya untuk berjumpa dengannya di PJ Hilton. Dia juga tidak menyatakan sebab mengapa hendak berjumpa dengan saya. Pada pendapat saya, lebih baik saya mengambil peluang untuk berjumpa dengan kedua-duanya sekali; pertamanya berjumpa dengan TS Musa dan seterusnya dengan Sanjeevan di PJ Hilton. Saya tidak sangka bahawa kedua-dua perjumpaan tersebut mempunyai sebarang perkaitan sehinggakan saya berjumpa TS Musa di rumahnya.”

”Lebih kurang dalam jam 2.30 petang saya berjumpa dengan TS Musa di rumahnya di Jalan Gasing, PJ. Kami kemudian keluar untuk minum teh di restoran Lotus yang berdekatan dengan rumahnya. Sedang kami duduk minum teh, TS Musa mendedahkan bahawa beliau ketika ini merupakan penasihat kepada Crime Watch Malaysia di mana Sanjeevan merupakan Pengerusinya. Menurut TS Musa, Sanjeevan mempunyai hubungan yang rapat dengan DSAI (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) dan DSAI juga telah menyatakan bahawa keinginin DSAI untuk berkawan rapat dengan dirinya (TS Musa).

“TS Muda bertanya secara terus terang samada wujud konspirasi di dalam siasatan saya sebagai pegawai penyiasat Kes Liwat II Anwar Ibrahim. Saya agak terkejut dan mengingatkannya (TS Musa) bahawa beliau merupakan Ketua Polis Negara pada ketika siasatan dibuat dan saya yakin TS Musa sendiri tidak terfikir bahawa terdapat apa-apa konspirasi mengenai siasatan saya di dalam kes tersebut. Saya memberitahunya bahawa kenyataan daripada saksi adalah jelas dan tidak terdapat unsur konspirasi. TS Musa berkata dia berpuas hati dengan jawapan saya. Kami duduk untuk beberapa minit lagi dan berbual mengenai perkara lain. TS Musa seolah-olah sedar bahawa saya akan ke PJ Hiltan untuk berjumpa dengan Sanjeevan sebelum saya sendiri memaklumkan kepadanya bahawa saya akan berjumpa dengan Sanjeevan di PJ Hilton. Saya menghantar TS Musa ke rumahnya dan kemudian menuju ke PJ Hilton.”

“Saya berjumpa dengan Sanjeevan di coffee house PJ Hilton. Dia sedang duduk di satu meja dan kelihatan sibuk dengan beberapa dokumen di hadapannya. Sedang saya berkenalan dengan dirinya, Sanjeevan berkata dia sedang membantu DSAI untuk PRU13 yang akan datang dan yakin bahawa PKR akan menang besar. Dia memaklumkan kepada saya bahawa DSAI sedang berkempen di Ipoh ketika ini. Sanjeevan sangat berterus terang. Dia bertanyakan kepada saya saya samada saya sanggup untuk membuat kenyataan media untuk menyatakan bahawa terdapat suatu konspirasi di dalam Kes Liwat II Anwar Ibrahim. Dia juga berkata saya akan dijaga dengan baik sekiranya PKR menang.”

“Saya memberitahu Sanjeevan bahawa saya tidak boleh membuat kenyataan sedemikian, siasatan saya menunjukkan bahawa tidak wujud sebarang konspirasi. Sanjeevan kemudiannya meminta saya untuk nyatakan sahaja bahwa terdapat campur tangan dari pihak kerajaan semasa siasatan, di mana saya nyatakan dengan tegas bahawa saya tidak akan lakukan. Saya kemudiannya mencadangkan sekiranya mereka (DSAI dan Sanjeevan) mahukan bantuan dari saya, yang terbaik saya dapat lakukan adalah dengan menghormati keputusan mahkamah sekiranya DSAI dibebaskan dan mendoakan kebaikannya. Sanjeevan kemudian menghubungi DSAI dengan telefon bimbitnya dan memaklumkan kepada DSAI bahawa saya berada bersamanya. Sanjeevan kemudian menghulurkan telefon tersebut kepada saya dan meminta supaya saya bercakap dengan DSAI. Saya cuma mengucapkan selamat maju jaya kepada DSAI untuk pilihanraya dan sekali lagi memberitahu kepada DSAI sendiri bahawa saya tidak mampu untuk lakukan seperti yang diminta oleh Sanjeevan. DSAI menjawab bahawa tidak mengapa dan cukup baik untuk saya nyatakan sedemikian.”

“Sanjeevan kemudian mencadangkan kepada saya untuk menulis sesuatu yang ‘ringan’ untuk media bahawa saya menyokong DSAI, dan dia akan memanggil wartawan pagi esok sekiranya saya bersetuju. Sanjeevan kemuan meminta saya untuk pergi ke hotel baru di KL Central untuk berjumpa dengan seorang individu yang akan menunjukkan kepada saya apa yang telah ditulisnya bagi pihak saya, di mana saya akan serahkan kepada wartawan keesokkanya. Sanjeevan memaklumkan bahawa saya akan dilindungi dengan baik di hotel tersebut dan saya boleh bermalam di hotel tersebut secara percuma. Kerana perasaan ingin tahu, saya ke KL Central untuk melihat sejauh mana hal ini akan berterusan.”

“Saya tiba di hotel baru di KL Central lebih kurang jam 8.00 malam. Di lobi, saya telah berjumpa dengan seorang lelaki India Muslim berjambang dan seorang lelaki lain. Saya memperkenalkan diri saya dan memaklumkan bahawa saya bersama Sanjeevan sebelum ini dan ingin berjumpa dengan mereka. Lelaki India Muslia tersebut dan rakannya memaklumkan bahawa mereka sedang membantu DSAI untuk pilihanraya. Lelaki berjambang itu memberikan saya draf surat dan sekiranya saya bersetuju, mereka akan memanggil wartawan keesokkan harinya. Saya amat terkejut apabila kandungan surat yang mengandungi lebih daripada 100 patah perkataan tersebut menyatakan bahwa saya selaku pegawai penyiasat mendapati DSAI adalah tidak bersalah dan telah didakwa dengan tidak adil, bukti yang sedia ada telah direka-reka untuk mensabitkan kesalahan terhadap DSAI. Penulisan tersebut membuatkan saya kelihatan begitu bodoh dan menjatuhkan integriti saya selepas usaha keras yang telah saya jalankan selama ini. Saya menolak permintaan mereka dan berjalan keluar dari hotel tersebut.”

“Saya memandu pulang ke rumah pada malam yang sama juga, menyesal berjumpa dengan Sanjeevan dan rakan-rakannya yang bertujuan untuk mengeksploitasikan diri saya demi kepentingan mereka. Kemudian, pada hari yang sama, TS Musa telah mengirimkan teks bertanyakan apa yang berlaku, bila saya menceritakan apa yang berlaku, TS Musa membalas bahawa apa yang saya lakukan adalah yang terbaik dalam melindungi integriti saya.”

Kesimpulan dan soalan berbangkit

Di awal pendedahan ini, saya menyebut, “Najib memegang rahsia Anwar sama seperti Anwar memegang rahsia Najib. Amat jelas bahawa Najib lebih takutkan rahsianya dibocorkan oleh Anwar berbanding dengan ketakutan yang ada pada diri Anwar jika rahsianya dibocorkan oleh Najib.”

Apabila saya membuat pendedahan bersama Jude, satu Malaysia gempar apabila diberitahu Anwar cuba ‘menyogok’ Jude untuk membuat kenyataan media palsu dengan naratif “terdapat konspirasi di dalam Kes Liwat II Anwar Ibrahim di mana bukti direka”

Najib merupakan Perdana Menteri pada ketika itu. Adakah Najib berbuat apa-apa?

Tidak.

Adakah siasatan lanjut dilakukan?

Tidak.

Sama juga halnya dengan kes liwat 3.0. Benarkah ada rahsia Najib yang dipegang oleh Anwar menyebabkan Najib teramat takut dan tidak berani mengambil tindakan?

Benarkah Anwar tidak pernah mendedahkan rahsia Najib kerana tahu dari awal lagi bahawa rahsia itu akan ‘mengikat’ Najib dan merupakan ‘kunci’ untuk Anwar menjadi Perdana Menteri?

Bersambung…

BAHAGIAN SATU:

This is how Muhyiddin’s cookie will crumble…

BAHAGIAN DUA:

Liwat 3.0 (Bahagian Dua): Salahlaku Anwar disenyapkan setelah Najib masuk perjanjian sulit sebelum Pilihan Raya Umum ke-13

ARTIKEL-ARTIKEL BERKAITAN:

Liwat II: Jude Pereira Diminta Akui Ada Konspirasi Politik Terhadap Anwar

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...