“Menurut khabar, Anwar amat terdesak dan boleh melakukan sesuatu yang mampu ganggu-gugat ekonomi negara sekiranya yakin Mahathir tidak berniat untuk menjadikannya Perdana Menteri”
Raggie Jessy Rithaudeen
Tindakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengungkit isu peralihan kuasa Perdana Menteri berulang kali sejak tahun lepas telah menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan bagi para pelabur yang mula merasakan politik tanah air akan bergolak tidak lama lagi.
Anwar, yang menggunakan segala ‘jentera’ propaganda di bawah kawalannya bagi memberi tekanan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersara, cuba menimbulkan persepsi seoalah-olah rakyat tidak sabar untuk peralihan kuasa berlaku.
Malangnya, tindak-tanduk Anwar hanya menggusarkan rakyat jelata, menjadikan sebilangan besar warga Melayu-Islam meluat dan menyebabkan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan hilang keyakinan terhadapnya.
Keadaan menjadi bertambah teruk apabila Dato’ Seri Azmin Ali dikaitkan dengan video seks luar tabii yang tular sebelum ini melibatkan orang yang dikatakan mirip Azmin bersama Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Beberapa pemimpin PKR yang dahulunya penyokong tegar Anwar mula meluat dengan perangai beliau kerana gagal mempertahankan Azmin yang dikatakan orang yang melakukan adegan seks luar tabii bersama Haziq dalam video tersebut.
Mereka marah kerana sebelum ini, apabila Anwar dituduh meliwat, Azmin memberi sokongan padu terhadapnya malah terus mengekalkan bahawa Anwar tidak bersalah biarpun Mahkhamah sendiri menyabitkan kesalahan tersebut.
Malah, Azmin menggunakan sebahagian daripada dananya sendiri dan bertungkus lumus mencari dana tambahan bagi membiayai aktiviti serta perbelanjaan sebilangan tertentu ‘tentera pejuang’ Anwar yang dibiarkan begitu sahaja oleh keluarga Anwar ketika beliau dipenjarakan untuk kali kedua.
Hari ini, ada di kalangan angota ‘tentera pejuang’ ini yang sudahpun bergelar ketua cabang, ahli parlimen dan ADUN dan amat terhutang budi dengan pengorbanan Azmin selama ini.
Mereka sepakat beralih ke kem Azmin apabila Anwar dan orang-orang kanannya mula menyerang Azmin secara terbuka dan bersetuju untuk meninggalkan PKR andaikata Azmin mengambil keputusan untuk menyertai PPBM ataupun menubuhkan parti baru.
Sebenarnya, serangan Anwar terhadap Azmin berpunca daripada akuan-akuan bersumpah palsu Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang saya bongkarkan tidak lama dulu.
Pada 8hb Ogos 2019, saya menulis:
Tidak lama selepas pendedahan tersebut, Anwar mula khuatir akan kekuatan sokongan ahli-ahli parlimen PKR terhadap Azmin dan sedar bahawa beliau tidak lagi menguasai parti tersebut seperti dahulu.
Beliau turut menanggung malu kerana tidak dapat memenuhi janjinya kepada beberapa ahli parlimen untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan 149 akuan bersumpah.
Bagi mengekalkan keyakinan ahli-ahli parlimen tersebut, beliau menggunakan alasan kedudukan Azmin dalam parti perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan isu semburit menghantui kerajaan baru.
Ini menjurus kepada satu sidang media di mana Anwar memberitahu Azmin secara halus untuk berundur dari jawatan timbalan presiden sekiranya penglibatannya dalam video semburit disahkan pihak berkuasa.
Pada tanggapan Anwar, kenyataan tersebut mampu mendorong ahli-ahli parlimen PKR yang beralih ke kem Azmin kembali bersamanya kerana khuatir kedudukan Azmin di dalam parti tergugat akibat kes semburit.
Tetapi sebaliknya yang berlaku.
Melihatkan perkembangan inilah Anwar mengarahkan semua kumpulan penyokongnya, termasuk Otai Reformasi, untuk berhenti memberi tekanan terhadap Mahathir.
Saya menyambung:
Beliau kemudiannya menjemput Mahathir sebagai tetamu kehormat di ‘retreat’ Port Dickson di mana beliau berpura-pura menyatakan sokongan padu dan rasa ‘cintanya’ terhadap pengorbanan Mahathir selama ini.
Tetapi Mahathir tidak mempedulikan semua itu dan terus memberi amaran secara halus kepada Anwar dan kuncu-kuncunya untuk melepaskan PKR kepada Azmin dengan berpura-pura bercerita berkenaan gejala jahat dalam PH yang perlu dibendung.
Amaran tersebut sah ditujukan kepada Anwar dan kuncu-kuncunya kerana sebelum menghadiri retreat tersebut, Mahathir memberikan amaran kepada Azmin untuk tidak hadir bersama orang-orangnya agar mesejnya hanya sampai ke telinga Anwar.
Dengan rasa terhina dan tercabar, Anwar terus mengerahkan kuncu-kuncunya untuk mengumpulkan tandatangan ketua-ketua cabang dimana sebilangan tertentu mereka samada diugut ataupun disajikan dengan pelbagai janji manis.
Biarpun tahu beliau tidak lagi menguasai PKR, Anwar tetap berdegil untuk menimbulkan persepsi bahawa parti tersebut ‘miliknya’ bagi meyakinkan ahli-ahli parlimen yang beralih ke kem Azmin untuk kembali bersamanya.
Atas sebab itulah beliau mengerahkan orangnya ke RoS dengan alasan ingin pemerincian berhubung perlembagaan parti bagi menentukan nasib Azmin.
Beliau menjangkakan tindakan tersebut akan berjaya meyakinkan ahli-ahli parlimen bahawa beliau sudah memperolehi sokongan majoriti di parlimen tetapi tidak boleh bergerak selagi Azmin masih lagi memegang jawatan timbalan presiden PKR.
Tetapi sebaliknya, lebih ramai ahli parlimen mula yakin bahawa Anwar tidak lagi menguasai parti dan hanya berpura-pura memiliki kuasa penuh.
Kesemua ini menunjukkan betapa taksubnya Anwar terhadap jawatan Perdana Menteri sehingga jauh tersasar dari realiti.
Tindakan terbaru tiga buah NGO yang menggesa Mahathir letak jawatan selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021 hanya sekadar mengukuhkan lagi keyakinan ahli-ahli parlimen bahawa Anwar tidak sedar apa yang dilakukannya.
Begitu juga, kenyataan terbaru Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Syed Ali, yang merungut apabila Mahathir mengumumkan akan lepaskan jawatan sebelum PRU15, hanya meyakinkan lagi ahli parlimen bahawa Anwar tidak sedar apa yang dilakukannya.
Sepertimana yang saya jelaskan dulu, sekiranya benar Anwar mempunyai sokongan majoriti di parlimen, beliau tidak akan teragak-agak mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan bukti sokongan tersebut supaya beliau diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Malah, sekiranya benar DAP, Amanah, Warisan dan GPS bersama Anwar, sudah tentu ada di kalangan menteri dari parti-parti berkenaan akan letak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk mewakili kerajaan persekutuan.
Hakikatnya, bukan hanya ahli kabinet sendiri tidak yakin terhadap Anwar, Anwar sedang membuktikan kepada semua bahawa beliau teramat taksub dengan jawatan Perdana Menteri sehingga tidak menghiraukan langsung masalah ekonomi rakyat dan negara.
Ini terbukti apabila beliau sendiri mengaku tidak ingin terlibat dengan kerajaan biarpun tahu pengalamannya sebagai Menteri Kewangan sebelum ini mampu mengatasi keresahan masyarakat Melayu-Islam sekiranya beliau minta untuk gantikan tempat Lim Guan Eng.
Ini tidak, Anwar dilihat lebih mementingkan apa yang dikehendaki oleh gandingan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang kerana takut tidak akan mendapat sokongan mereka sekiranya Mahathir tiba-tiba berundur ataupun bertindak meminta Yang Di-Pertuan Agong membubarkan parlimen.
Percayalah, lebih cepat kareer politik Anwar dikuburkan, lebih stabil politik negara.
Menurut khabar, tidak mustahil beliau akan lakukan sesuatu yang mampu ganggu-gugat ekonomi negara sekiranya yakin Mahathir tidak berniat untuk jadikannya Perdana Menteri.
Bersambung…
Your donation is much appreciated and will go a long way towards helping us serve you better. Click the donate button below to make a contribution (you don’t need a Paypal account to donate through Paypal, simply follow the instructions once you click the button).
FOLLOW US ON TELEGRAM AND TWITTER:
TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen (click here)
TELEGRAM: Rosdzaman Dato’ Hj Mohd Yusup
TELEGRAM: Norismail Sarbini
TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen (click here)
WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com
