“Zahid turut tidak memaklumkan kepada Mahathir dan PAS berkenaan satu perjumpaan rahsia lima hari yang beliau uruskan di Jakarta bersama lima ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) UMNO dan tiga ahli parlimen dari parti itu (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “Kumpulan J8”)”
Raggie Jessy Rtihaudeen
Dalam bahagian pertama (rujuk bawah), saya menghuraikan sebab sebenar Team A UMNO ingin bekerjasama dengan PAS sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan cuba menguatkan lagi kerjasama itu selepas Pilihan Raya berkenaan.
Sepintas lalu, Team A menunggang PAS sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi untuk menangkis tekanan dari dalam Barisan Nasional dan UMNO yang inginkan Najib letak jawatan.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mula sedar bahawa Team A tidak akan bertahan dan mungkin terkubur terus jika satu bentuk kerjasama baharu tidak dimulakan dengan PAS secepat mungkin.
Atas sebab itulah Team A mula berbincang dengan PAS tentang perlunya PAS dan UMNO “mengeratkan lagi” kerjasama kedua-dua parti itu menerusi pembentukkan sebuah gabungan baharu berasaskan konsep “perpaduan ummah.”
Dalam bahagian ini, saya akan memperinci cara Team A memperdaya PAS sejak 2018 lagi untuk cuba memasuki kerajaan menerusi pintu belakang.
Ceritanya begini:
1. Untuk meyakinkan PAS agar kerjasama antara parti itu dan UMNO perlu dieratkan, Team A menggunakan alasan perlunya inisiatif yang dimulakan oleh Najib sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dimantapkan lagi demi mempertahankan kepentingan ummah menentang anasir jahat DAP.
2. Tetapi ini hanyalah alasan semata-mata, kerana pada ketika itu, beberapa pemimpin UMNO sememangnya sedang berbincang secara sulit kemungkinan untuk bekerjasama dengan DAP, termasuk Tan Sri Annuar Musa, yang secara terbuka mengakui perlunya UMNO ‘bersifat matang’ dalam hal ini.
3. Annuar, Najib dan Zahid sebenarnya ingin memasuki semula kerajaan menerusi pintu belakang dan terbuka kepada kemungkinan UMNO bekerjasama dengan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencantas Mahathir biarpun terpaksa bersekongkol dengan DAP dan AMANAH.
4. Team A melakukan ini tanpa pengetahuan PAS biarpun memujuk pucuk pimpinan parti itu untuk bekerjasama dengan UMNO atas alasan perlunya PAS dan UMNO “mempertahankan kepentingan ummah menentang anasir jahat DAP.”
5. Oleh kerana Zahid masih mempunyai talian persahabatan bersama orang-orang Anwar, maka bermulalah “Langkah Zahid” untuk cuba berunding dengan semua pihak, termasuk Anwar dan Mahathir, untuk mencari formula yang mampu membawa UMNO kembali ke tampuk kepimpinan negara.
6. Dalam satu mesyuarat yang berlangsung antara Mahathir dan Zahid di pertengahan bulan September 2018, Zahid diberitahu dengan sejelas mungkin bahawa PPBM tidak boleh dan tidak akan menerima pemimpin-pemimpin UMNO yang bermasalah, khususnya mereka yang menghadapi tuduhan jenayah.
7. Zahid turut diberitahu bahawa ahli-ahli UMNO yang diterima masuk ke dalam Pakatan Harapan (PPBM) tidak akan diberi sebarang jawatan dalam kerajaan.
8. Pada ketika itu, Zahid sudahpun memulakan satu siri perbincangan bersama beberapa pemimpin PAS yang tidak dimaklumkan tentang rancangan beliau untuk cuba membawa UMNO masuk ke dalam Pakatan Harapan.
9. Zahid turut tidak memaklumkan kepada kedua-dua Mahathir dan PAS berkenaan satu perjumpaan rahsia lima hari yang beliau uruskan di Jakarta bersama lima ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) UMNO dan tiga ahli parlimen dari parti itu (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “Kumpulan J8”).
10. Pada ketika Zahid bertemu dengan Mahathir, beliau baru sahaja kembali dari Jakarta bersama Kumpulan J8 bagi membincangkan cara-cara UMNO boleh kembali ke tampuk kepimpinan negara menerusi pintu belakang.
11. Di Jakarta, Zahid memberikan dua opsyen kepada Kumpulan J8, iaitu:
a. Samada UMNO menyertai Pakatan Harapan bersama PKR, PPBM, DAP dan AMANAH, atau
b. UMNO bekerjasama dengan Anwar untuk menumbangkan Pakatan Harapan.
12. Kumpulan J8 turut diberitahu, seandainya UMNO bersetuju untuk bekerjasama dengan Anwar, DAP dan AMANAH turut akan terlibat.
13. Ini sealigus menjelaskan kenyataan Annuar Musa pada bulan September 2018 bahawa UMNO harus bersikap matang dalam politik dan perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk bekerjasama dengan DAP.
Bersambung esok…
RUJUK JUGA BAHAGIAN PERTAMA DI SINI:
Team A UMNO terkena jerat sendiri – Bahagian Satu (Pendedahan Penuh)
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
