Bahagian Lima: Inilah sebabnya UMNO terpaksa terima penyertaan Muhyiddin dalam Muafakat Nasional (Pendedahan Penuh)

“PAS kini hanya perlu menunggu masa untuk Muhyiddin mencadangkan agar Muafakat Nasional diubah namanya kepada nama baharu yang menggambarkan “penyatuan ummah menyeluruh” dan didaftarkan di RoS sebelum Pilhan Raya Umum ke-15”

Raggie Jessy Rithaudeen

Nota: Bahagian ini sepatutnya diterbitkan sebagai bahagian ke-sembilan. Walaubagaimanapun, saya terpaksa menerbitkannya sebagai bahagian ke-lima berdasarkan perkembangan politik terkini yang memerlukan saya berbuat demikian.

Ramai tertanya-tanya apakah logik sebenar di sebalik tindakan UMNO dan PAS mempelawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai Muafakat Nasional.




Ini memandangkan PPBM kini berada dalam fasa kehancuran dan dijangka akan kehilangan hampir 80 peratus daripada ahli akar umbinya sebelum pertengahan bulan depan.

Malah, pada ketika ini sahaja, lebih 50 peratus daripada pemimpin bahagian dan cawangan serta akar umbi sudahpun mengisytiharkan keluar parti untuk menyertai Parti Pejuang Tanah Air pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad atas alasan tidak lagi percaya kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jadi bagaimanakah PAS dan UMNO boleh beriya-iya menjemput PPBM duduk di bawah bumbung Muafakat Nasional sedangkan PPBM bagaikan ikan yang hanya tinggal tulang, itu pun tanpa ekor dan sirip?

Lebih penting lagi, bagaimanakah UMNO boleh tiba-tiba bersetuju membuat jemputan itu sedangkan parti itu mati-mati tidak ingin duduk bersama PPBM secara rasmi di bawah bumbung Perikatan Nasional dengan alasan “kepimpinan dan akar umbi PPBM berselerak di dalam dan luar kerajaan?”

Ceritanya begini:

56. Tidak lama selepas Langkah Sheraton, PAS mula sedar bahawa dirinya ditunggang oleh Team A (UMNO) atas sebab-sebab yang telah saya rungkai dalam dua terbitan sebelum ini (rujuk hujung bawah, bahagian satu dan dua).

57. Sepintas lalu, untuk mengeratkan lagi hubungan antara PAS dan UMNO, Team A menggunakan alasan perlunya kerjasama yang dimulakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dimantapkan lagi demi mempertahankan kepentingan ummah menentang anasir jahat DAP.

58. Tetapi ini hanyalah alasan semata-mata, kerana pada ketika itu, beberapa pemimpin UMNO sememangnya berbincang secara sulit kemungkinan untuk bekerjasama dengan DAP, termasuk Tan Sri Annuar Musa, yang secara terbuka mengakui perlunya UMNO ‘bersifat matang’ dalam hal ini.

Loading...

59. Team A hanya menggunakan alasan perlunya PAS dan UMNO “mempertahankan kepentingan ummah menentang anasir jahat DAP” kerana tahu DAP merupakan musuh ketat PAS disebabkan apa yang berlaku ketika Langkah Kajang.

60. Hakikatnya, Team A hanya menunggang PAS untuk menangkis tekanan beberapa pemimpin dari dalam Barisan Nasional dan UMNO yang inginkan Najib dan orang-orangnya berundur.

61. Umum sedia maklum bahawa saham UMNO di kalangan pengundi Melayu-Islam jatuh teruk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tatkala saham PAS melonjak naik.

62. Ini disebabkan ramai terpegun dengan kemampuan PAS meningkatkan sokongannya di Pilihan Raya itu walaupun parti itu terang-terang bekerjasama dengan Najib yang ditolak bulat-bulat oleh majoriti pengundi.

63. Perosotan prestasi Barisan Nasional menyebabkan ramai pemimpin UMNO mula sangsi terhadap Najib dan menuduhnya menjadi punca utama Barisan Nasional kecundang.

64. Kesemua ini menyebabkan pengaruh Team A dalam UMNO semakin berkurang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 hinggakan wujud tekanan dari dalam parti itu untuk Najib berundur agar penjenamaan semula parti dapat dilaksanakan.

65. Tetapi Najib hanya berundur buat seketika.

66. Di sekitar bulan September 2018, beliau cuba kembali atas desakan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang mati-mati inginkan suaminya kembali sebagai presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

67. Walaubagaimanapun, usaha Najib dan Rosmah untuk mencantas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menemui jalan buntu (rujuk hujung bawah, bahagian tiga dan empat)

68. Disebabkan itu, Najib akhirnya bersetuju untuk mengadakan “gencatan politik” dengan Zahid buat seketika agar Team A dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada “permuafakatan baharu” dengan PAS.

69. Untuk meyakinkan PAS agar bekerjasama dengan UMNO di bawah satu bumbung, Team A sekali lagi menggunakan DAP sebagai alasan dengan mendakwa PAS dan UMNO perlu “menyatukan ummah” untuk menentang “anasir jahat DAP.”

70. PAS pada awalnya menjangkakan permuafakatan itu akan berakhir dengan sebuah gabungan baharu yang didaftar menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

71. Tetapi apabila Team A tiba-tiba mencadangkan pembentukan sebuah kerajaan baharu menerusi pintu belakang, PAS mula sedar konsep Muafakat Nasional merupakan helah semata-mata dan tidak akan menjurus kepada sebuah gabungan berdaftar.

72. PAS tahu, seandainya Muafakat Nasional tidak didaftar, parti itu akan dihukum oleh penyokongnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu sekiranya PAS bertanding di Pilihan Raya Umum ke-15 menggunakan bendera Barisan Nasional.

73. Sebaliknya, jika PAS bertanding menggunakan benderanya sendiri, penyokong yang sama tetap akan menghukumnya kerana kegagalan PAS dan UMNO mendaftarkan Muafakat Nasional.

74. Malangnya, PAS tidak dapat berbuat apa-apa pada ketika itu kerana nasi sudah menadi bubur.

75. Ini kerana, jika PAS menjarakkan dirinya dari UMNO, perbuatan itu akan memarahkan lagi penyokongnya yang kini akan menuduh PAS menjadi punca kegagalan Muafakat Nasional.

76. Dalam ertikata lain, PAS mula sedar bahawa dirinya dijerat oleh Team A.

77. Untuk melepaskan dirinya dari jerat inilah PAS akhirnya bersetuju untuk bersekongkol dengan UMNO dalam menjayakan Langkah Sheraton biarpun tahu langkah itu akan memaksanya berpaling tadah kepada Mahathir.

78. PAS yakin penyokongnya akan percaya bahawa Perikatan Nasional merupakan “penyatuan ummah lebih menyeluruh” berbanding Muafakat Nasional.

79. PAS turut berharap untuk berpaut pada sokongan akar umbi PPBM untuk mengawal ego Team A dan menjangkakan Muhyiddin memiliki sokongan padu seluruh akar umbi, pemimpin bahagian dan cawangan partinya.

80.  Tetapi nyata jangkaan PAS tersasar.

81. Ini kerana lebih 80 peratus pemimpin bahagian dan cawangan serta akar umbi PPBM dari seluruh negara dijangka akan keluar dari parti itu untuk bersama Parti Pejuang Tanah Air pimpinan Mahathir.

82. Team A sebenarnya sudah menjangkakan Muhyiddin tidak memiliki sokongan akar umbi dari awal lagi dan tahu beliau akhirnya akan terpaksa akur pada segala kehendak Najib.

83. Atas sebab inilah Team A memperdaya PAS untuk menubuhkan Perikatan Nasional sebelum menjarakkan dirinya dari gabungan tersebut tanpa berbincang terlebih dahulu dengan PAS.

84. Hakikatnya, Team A tahu PAS amat mudah dijerat dan tidak dapat berbuat apa seandainya UMNO berlagak sebagai “big brother” dan mengasingkan dirinya dari Perikatan Nasional.

85.  Team A turut tahu Muhyiddin akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen dan memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 seandainya UMNO bersetuju untuk duduk di bawah bumbung Perikatan Nasional.

86. Ini kerana Muhyiddin amat popular pada ketika itu (selepas Langkah Sheraton) disebabkan cara beliau menangani wabak Covid-19.

87. Seandainya Muhyiddin berbuat demikian, beliau sudah pasti akan disanjung sebagai pemimpin pertama yang “berjaya satukan tiga parti Melayu-Islam di bawah satu bumbung,” sekaligus membolehkannya menunggang PAS dan UMNO untuk mengaut sokongan akar umbi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15.

88. Untuk mengelakkan perkara inilah Team A bertindak menjarakkan dirinya dari Perikatan Nasional dan tanya menunggu masa untuk PPBM hancur.

89. Menerusi kehancuran itu, Team A berharap Muhyiddin akhirnya akan merangkak ke UMNO untuk memohon memasuki parti itu atau membawa PPBM masuk ke dalam Muafakat Nasional.

89. Malangnya, Team A tidak menjangkakan Najib akan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

90. Team A turut tidak menjangkakan Mahathir akan menyisihkan Anwar menerusi pembentukkan Blok Bebas Kuasa Ketiga dan meraih sokongan majoriti pemimpin Borneo, Team B, DAP dan AMANAH serta sebilangan besar pemimpin PKR.

91. Apa yang paling mengejutkan Team A ialan kerelaan semua pemimpin dan akar umbi PPBM yang keluar dari parti itu untuk menyokong Blok Bebas Kuasa Ketiga dan parti baharu Mahathir, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

92. Kesemua ini menyebabkan saham Muhyiddin menjunam teruk, sekaligus merosakkan rancangan asal Team A untuk memaksa Muhyiddin bertanding di Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai calon Perdana Menteri menggunakan bendera Barisan Nasional.

93. PAS pula amat gembira pencaturan Team A gagal dan terus bersetuju agar Muhyiddin dibenarkan masuk ke dalam Muafakat Nasional.

94. PAS tahu, walaupun rancangan asalnya untuk berpaut pada sokongan akar umbi PPBM tidak berjaya, UMNO akan dihukum oleh akar umbinya sendiri seandainya Team A turut bersetuju untuk menerima Muhyiddin.

95. Atas dasar inilah PAS beriya-iya untuk menerima PPBM masuk ke dalam Muafakat Nasional.

96. PAS tahu Team A kini tidak berani memaksa Muhyiddin menggunakan bendera Barisan Nasional di Pilihan Raya Umum ke-15 kerana langkah itu sudah pasti akan menguburkan Team A buat selama-lamanya.

97. PAS turut tahu Team A terpaksa bersetuju dengan penyertaan Muhyiddin dalam Muafakat Nasional untuk mengelakkan situasi di mana PAS beralih sokongan kepada Mahathir atas alasan “UMNO menolak formula perpaduan menyeluruh.”

98. Seandainya PAS berbuat demikian, UMNO sudah pasti akan dikecam sebagai parti yang menghancurkan Muafakat Nasional.

99. PAS pula tidak rugi apa-apa malah akan ada alasan kukuh untuk menggunakan benderanya sendiri di Pilihan Raya Umum ke-15.

100. Dalam ertikata lain, Team A kini terjerat.

101. Dengan menerima Muhyiddin, UMNO sudah pasti akan dihukum oleh seblilangan besar akar umbinya yang terang-terang tidak ingin Muhyiddin terlibat dengan Muafakat Nasional.

102. Ya, suka tak suka, PAS akhirnya berjaya menjerat kembali Team A dan kini hanya perlu menunggu masa untuk Muhyiddin mencadangkan agar Muafakat Nasional diubah namanya.

103. Percayalah, Muhyiddin akan berbuat demikian atas alasan perlunya satu gabungan baharu yang menggambarkan “penyatuan ummah lebih menyeluruh” dan akan cuba mendaftarkan gabungan itu di RoS sebelum Pilhan Raya Umum ke-15.

Bersambung…

BAHAGIAN SATU HINGGA EMPAT:

Team A UMNO terkena jerat sendiri – Bahagian Satu (Pendedahan Penuh)

Bahagian Dua: Team A UMNO terkena jerat sendiri – Perjumpaan rahsia Zahid di Jakarta (Pendedahan Penuh)

Bahagian Tiga: Rosmah bertegas ‘Zahid perlu letak jawatan malam ini juga!’ (Pendedahan Penuh)

Team A UMNO terkena jerat sendiri – Bahagian Empat: Najib, Rosmah terkena jerat Zahid (Pendedahan Penuh)

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...