“Saya dihubungi secara langsung oleh Rosmah yang meminta saya mendesak Zahid “letak jawatan malam ini juga” kerana inginkan Najib kembali”
Raggie Jessy Rithaudeen
Dalam bahagian kedua, saya menceritakan perihal satu perjumpaan rahsia lima hari yang diuruskan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Jakarta bersama lima ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) UMNO dan tiga ahli parlimen dari parti itu (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “Kumpulan J8”).
Saya mengakhiri bahagian itu dengan menulis:
10. Pada ketika Zahid bertemu dengan Mahathir, beliau baru sahaja kembali dari Jakarta bersama Kumpulan J8 bagi membincangkan cara-cara UMNO boleh kembali ke tampuk kepimpinan negara menerusi pintu belakang.
11. Di Jakarta, Zahid memberikan dua opsyen kepada Kumpulan J8, iaitu:
a. Samada UMNO menyertai Pakatan Harapan bersama PKR, PPBM, DAP dan AMANAH, atau
b. UMNO bekerjasama dengan Anwar untuk menumbangkan Pakatan Harapan.
12. Kumpulan J8 turut diberitahu, seandainya UMNO bersetuju untuk bekerjasama dengan Anwar, DAP dan AMANAH turut akan terlibat.
13. Ini sealigus menjelaskan kenyataan Annuar Musa pada bulan September 2018 bahawa UMNO harus bersikap matang dalam politik dan perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk bekerjasama dengan DAP.
Dalam bahagian ini, saya akan meneliti satu usaha sulit melibatkan kumpulan Najib sejak bulan September 2018 lagi untuk mencantas Zahid agar Najib boleh kembali sebagai pengerusi Barisan Nasional.
Ceritanya begini:
14. Setelah Zahid berjumpa dengan Mahathir, beliau berhubung dengan Kumpulan J8 bagi menyampaikan hasil pertemuannya dengan Mahathir itu.
15. Walaubagaimanapun, Zahid dikatakan gagal memaklumkan kepada kesemua ahli Kumpulan J8 bahawa Mahathir memberitahunya sejelas-jelas mungkin bahawa PPBM tidak boleh dan tidak akan menerima pemimpin-pemimpin UMNO yang bermasalah, khususnya mereka yang menghadapi tuduhan jenayah.
16. Pada tanggapan beberapa ahli Kumpulan itu, Mahathir bersedia menerima UMNO secara en bloc, manakala Najib dan Annuar Musa pula beranggapan bahawa Mahathir lebih cenderung ke arah pembubaran UMNO.
17. Justeru, pada ketika itu, tanggapan pemimpin-pemimpin UMNO berhubung pertemuan Zahid dan Mahathir tidak konsisten samada disebabkan perkara-perkara tertentu yang diselindung oleh Zahid ataupun andaian-andaian yang dibuat oleh pemimpin ini sendiri.
18. Apa pun, pertemuan Zahid dengan Mahathir menimbulkan sedikit ketegangan antara Najib dan Zahid serta seorang dua pemimpin UMNO yang berpihak kepada Najib.
19. Pada ketika itu, kumpulan Najib sudah memulakan langkah untuk mencantas Zahid dengan niat untuk kembalikan Najib sebagai pengerusi Barisan Nasional atas dasar curiga Zahid mungkin telah memasuki perjanjian tertentu dengan Mahathir.
20. Saya difahamkan, kumpulan Najib turut khuatir Zahid akan memasuki perjanjian sulit dengan Anwar untuk menyelamatkan tengkuknya biarpun terpaksa mencantas terus Najib dan bersetuju bahawa Anwar dijadikan Perdana Menteri.
21. Atas dasar inilah bermula satu gelombang baharu dalam Team A untuk mencantas Zahid dengan memaksa beliau meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional.
22. Saya tidak pasti samada Najib sendiri terlibat atau tidak, tetapi ada usaha untuk mengaitkan Zahid dengan pembelian senjata api dari Turki menerusi sebuah syarikat milik anak presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan.
23. Menurut apa yang disampaikan kepada saya, Anwar turut terlibat dalam pembelian itu (saya tidak dapat pastikan dalam kapasiti apa ataupun bila pembelian itu dibuat) bersama seorang VIP yang bernama Dato’ Ishak Ismail yang dikatakan menjadi perantara dalam rundingan pembelian senjata berikut:
a. pistol
b. ‘sub-machine gun’
c. ‘Rocket launcher’
d. Dron pemantauan
24. Kesemua makumat ini disampaikan tidak lama selepas pertemuan Zahid dan Mahathir di pertengahan bulan September 2018, sekaligus menandakan berlaku kegusaran di kalangan puak Najib berhubung pertemuan itu.
25. Kemudian, apabila saya bertindak membongkarkan kemelut yang melanda Team A disebabkan perasaan syak wasangka yang melanda kepimpinannya, saya mendapat maklum bahawa Najib ingin Zahid letak jawatan agar beliau boleh kembali sebagai pengerusi Barisan Nasional.
26. Ini bukanlah rekaan, tetapi satu kepastian, dan saya mencabar sesiapa sahaja dari kalangan ahli-ahli kumpulan Najib, termasuk Najib sendiri dan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menafikan perkara ini.
27. Malah, saya dihubungi secara langsung oleh Rosmah yang meminta saya mendesak Zahid “letak jawatan malam ini juga” kerana inginkan Najib kembali.
28. Saya naik berang dan menolak terus permintaan itu dan mula sedar beberapa perkara yang tidak saya sedar sebelum itu.
29. Atas dasar inilah saya membuat keputusan untuk menilai semula Najib dan segala maklumat yang disampaikan kepada saya secara tidak langsung oleh sel-sel media yang bersangkut dengan Najib sebelum Pilihan Raya Umum ke-14
Bersambung esok…
RUJUK BAHAGIAN SATU DAN DUA DI SINI:
Team A UMNO terkena jerat sendiri – Bahagian Satu (Pendedahan Penuh)
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
