“Sekiranya Lim Guan Eng menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dia boleh mengeluarkan 24 kenyataan setiap hari berdasarkan isu-isu yang bersangkut-paut dengan 24 kementerian yang sedia wujud hari ini”
Ng Lum Yong
Pada 12hb Januari 2019, saya mencadangkan agar Lim Guan Eng menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana tabiatnya yang terlalu suka campurtangan dalam hal-hal yang melibatkan kementerian-kementerian lain (SILA RUJUK KENYATAAN SAYA DI SINI).
Saya memberi jalan penyelesaian ini setelah mempertimbangkan beberapa perkara, termasuk kemarahan orang Melayu terhadap DAP kerana mengambil alih aset-aset Tabung Haji secara tidak langsung menerusi “Special Purpose Vehicle” di bawah kementerian Lim Guan Eng.
Tetapi nampaknya, Lim Guan Eng tidak berapa suka dengan kenyataan saya itu.
Semalam, beliau mendakwa bahawa ada pihak yang cuba menimbulkan ketegangan antara kaum kerana tidak puas hati dengan tindakan kerajaan mengurangkan peruntukan bagi Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR).
Ini adalah satu ‘spin’ yang betul-betul ‘kaw’.
Hakikatnya, saya menegur beliau kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang sepatutnya dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan sendiri.
Teguran saya adalah seperti berikut:
“Pada 21hb November 2018, beliau mendesak MCA memutuskan hubungan parti Cina itu dengan Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sekiranya institusi-institusi tersebut inginkan peruntukkan lebih dari kerajaan pusat.
“Bukankah Lim selaku Menteri Kewangan seharusnya membincangkan perkara tersebut terlebih dahulu dengan Menteri Pendidikan?
“Bukankah ianya tugas Menteri Pendidikan untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu sekiranya benar kerajaan inginkan MCA putuskan hubungan dengan TARC dan UTAR sebelum institusi-institusi tersebut boleh diberikan peruntukan yang lebih?”
Merujuk pada teguran inilah saya cadangkan supaya Lim dijadikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerana dengan cara ini, beliau boleh campurtangan dalam apa jua hal melibatkan apa jua kementerian, termasuk Kementerian Pendidikan.
Saya turut mencadangkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih tugas Menteri Kewangan dari Lim sementara menunggu gilirannya untuk menjadi Perdana Menteri.
Sebenarnya, Anwar lebih sesuai menggantikan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Walaubagaimanapun, saya tidak mencadangkan ini sebagai jalan penyelesaian dalam kenyataan saya yang lepas kerana memikirkan manifesto Pakatan Harapan yang jelas melarang mana-mana ahli cabinet memegang dua jawatan kerajaan.
Tetapi selepas kenyataan itu, saya tiba-tiba teringat bahawa manifesto itu sudahpun dilanggari, memandangkan Wan Azizah sudahpun memegang dua jawatan dalam kerajaan, iaitu Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.
Oleh kerana perkara ini langsung tidak mendapat tentangan daripada Lim Guan Eng, jadi saya fikir tidak menjadi masalah sekiranya Anwar menggantikan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Lim sebagai Menteri Kewangan.
Bukankan itu jalan penyelesaian yang terbaik?
Sepertimana yang telah saya katakan sebelum ini, sekiranya Anwar memegang portfolio kewangan, orang-orang Melayu tidak akan marah lagi memandangkan aset-aset Tabung Haji masih akan berada dibawah penguasaan orang Islam.
Tambahan pula, Anwar sememangnya berpengalaman luas dalam hal-hal bersangkut paut kewangan negara memandangkan beliau pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dari tahun 1991 hingga 1998.
Lim pula boleh duduk di Jabatan Perdana Menteri dan mengeluarkan 24 kenyataan setiap hari berdasarkan isu-isu yang bersangkut-paut dengan 24 kementerian yang sedia wujud hari ini.
Ng Lum Yong merupakan Presiden Pertubuhan Jaringan Rakyat Malaysia
