Kem Muhyiddin koyak rabak

“Kem Muhyiddin sedang cuba melagakan pembangkang, mungkin dengan harapan Perikatan Nasional akan mampu ‘menarik’ sokongan lebih ramai ahli parlimen sebelum Yang di-Pertuan Agong bertindak ke atas kenyataan terpesong Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini

Raggie Jessy Rithaudeen

كم محي الدين كويق رابق

Sertai saluran Telegram TTF di sini

Semalam, sebuah portal yang cenderung ke arah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat dakwaan serius kononnya dua menteri yang letak jawatan baru-baru ini berbuat demikian setelah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.

Menurut portal tersebut, Zahid membuat tawaran itu dalam pertemuan rahsia bersama ahli-ahli parlimen yang menyokongnya dan berikrar untuk meyakinkan ahli-ahli Parlimen dari GPS, PAS dan Bersatu bagi meningkatkan jumlah sokongan supaya UMNO dapat “kembali menjadi pengemudi induk dalam kerajaan”.




Terdapat juga Laskar Siber dan blogger pro-Muhyiddin yang mendakwa kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak, Zahid dan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berbaik semula dan kini sedang berganding bahu untuk menumbangkan Muhyiddin menerusi pembentukkan “Jajaran Politik Baharu.”

Sebenarnya, ‘pendedahan-pendedahan’ bodoh sebegini adalah usaha terdesak kem Muhyiddin untuk melagakan pembangkang, mungkin dengan harapan Perikatan Nasional akan mampu ‘menarik’ sokongan lebih ramai ahli parlimen sebelum Yang di-Pertuan Agong bertindak ke atas kenyataan terpesong Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini.

Hakikatnya, mereka yang membuat pendedahan sebegini kurang faham apa yang benar-benar berlaku dan tidak sedar bahawa propaganda yang dimainkan oleh mereka tidak akan membawa sebarang perubahan kepada komitmen lebih 120 ahli parlimen untuk mencantas Muhyiddin.

Jadi Zahid tidak ingin jadi Perdana Menteri?

Oh, Zahid mati-mati ingin menjadi Perdana Menteri, malah Najib sendiri mengimpikan jawatan itu.

Namun, kedua-dua Najib dan Zahid sedar bahawa sokongan terhadap mereka amat tipis, malah ahli-ahli parlimen dari UMNO sendiri menolak mereka melainkan lima ahli parlimen yang tegar bersama mereka.

Tetapi Najib dan Zahid membuat penilaian risiko dan mendapati bahawa mereka lebih bijak jika menarik sokongan terhadap Muhyiddin daripada mengharapkan apa-apa kebaikan atau ‘keajaiban’ dari Muhyiddin.

Pada tanggapan mereka, jika Muhyiddin tumbang, ada kemungkinan seorang pemimpin UMNO akan dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Loading...

Sebaliknya, jika Muhyiddin kekal, beliau sudah pasti akan menguasai UMNO sebelum hujung tahun ini dengan bantuan menteri-menteri UMNO yang memihaknya.

Bagaimana dengan Anwar – Najib tak sokong lagi?

Najib berpendapat bahawa tidak ada gunanya mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana pemimpin UMNO sebagai Perdana Menteri.

Ini kerana sokongan terhadap Anwar dan semua pemimpin UMNO amat teruk dan tidak akan memampukan sesiapa menjadi Perdana Menteri.

Sebaliknya, jika misi bersama adalah untuk membentuk sebuah kerajaan interim dan (atau) Majlis Pemulihan Negara, UMNO akan bebas dari ‘ganguan’ Muhyiddin.

Ianya akan memberi ruang kepada Najib dan Zahid untuk melobi sokongan dari PAS, PPBM, GPS dan parti-parti lain ke arah pembentukan sebuah gabungan baharu sementara menunggu parlimen dibubarkan.

Atas sebab inilah Najib dan Zahid tiba-tiba bersetuju untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Bagaimana pula dengan ahli-ahli parlimen UMNO yang bersetuju untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin?

Najib dan Zahid hanya disokong oleh lima ahli parlimen dari UMNO.

Namun, mereka dibantu oleh 10-11 ahli parlimen tambahan dari parti itu atas misi bersama untuk mencantas Muhyiddin, bukannya untuk menaikkan mereka.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan ahli-ahli parlimen dari UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin seramai 17 hingga 18 orang.

Maka tidak benarlah dakwaan kononnya dua menteri yang letak jawatan baru-baru ini berbuat demikian setelah Zahid menawarkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.

Sebaliknya, mereka letak jawatan kerana percaya bahawa UMNO akan hancur berkecai jika Muhyiddin terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Adakah Mahathir sedang bekerjasama dengan Najib dan Zahid?

Tidak.

Seluruh blok pembangkang dan bebas bersetuju bahawa “siapa jadi Perdana Menteri” bukan lagi pertimbangan utama, kerana misi bersama blok pembangkang dan bebas bukan lagi untuk mewujudkan sebuah kerajaan baharu berdasarkan sokongan majoriti.

Sebaliknya, misi bersama blok pembangkang dan bebas adalah untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin dan mewujudkan sebuah kerajaan interim dan (atau) Majlis Pemulihan Negara berdasarkan cadangan ala Mageran yang dikemukakan oleh Mahathir.

Bagi blok pembangkang dan bebas, langkah ini penting untuk menurunkan suhu politik tanah air dan mengekang penularan wabak Covid-19 sebelum parlimen dibubarkan dan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

Jadi apabila PEJUANG, MUDA, WARISAN, AMANAH, PKR dan DAP melihat ahli-ahli parlimen UMNO mengumumkan penarikkan sokongan terhadap Muhyiddin, mereka turut berbuat demikian secara en bloc agar jumlah sebenar ahli parlimen yang masih menyokong Muhyiddin dapat disahkan.

Maka tidak benarlah dakwaan kononnya Mahathir sedang bekerjasama dengan Najib dan Zahid.

Bagaimana jika Najib dan Zahid berjaya bentuk gabungan baharu selepas Muhyiddin tumbang?

Saya tidak nafikan bahawa Najib dan Zahid akan cuba melobi sokongan dari PAS, PPBM, GPS dan parti-parti lain ke arah pembentukan sebuah gabungan baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Namun, langkah ini tidak akan membawa sebarang perubahan dalam pentadbiran persekutuan sebelum parlimen dibubarkan, kerana kerajaan interim dan (atau) Majlis Pemulihan Negara yang bakal terbentuk akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

WAJIB BACA:

Pelan Pemulihan Negara: Inilah caranya Muhyiddin perdaya rakyat 



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...