Raggie Jessy Rithaudeen
Keputusan Jawatankuasa disiplin DAP menerima penjelasan Ronnie Liu berhubung artikelnya yang membidas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan persoalan sekiranya tindakan Ronnie dirancang dengan teliti oleh DAP, khususnya, Lim Kit Siang.
Ini memandangkan isi kandungan artikel tersebut jelas bercanggah dengan prinsip kesefahaman yang dipersetujui oleh kesemua parti komponen Pakatan Harapan.
Menurut prinsip ini, ketua-ketua parti Pakatan Harapan wajib membawa segala permasalahan ataupun sengketa dalaman melibatkan gabungan tersebut ke meja perbincangan bagi mencapai kata sepakat menerusi konsensus Majlis Presiden.
Ronnie, menerusi sebuah laporan portal berita tempatan, mendakwa Pakatan Harapan masih boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Mahathir menerima bekas ahli politik UMNO sebagai ahli Bersatu dan kegagalan Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan Ronnie menimbulkan tanda tanya sekiranya DAP merupakan senapang dan Ronnie pelurunya dalam usaha sulit Lim Kit Siang dan Anwar menimbulkan gelombang kebangkitan di kalangan ahli-ahli parlimen untuk menggulingkan Mahathir.
Seharusnya, DAP mengambil langkah menegur Ronnie dan mengenakan tindakan disiplin terhadapnya memandangkan tidak wujud apa-apa perjanjian yang mewajibkan Mahathir meletakkan jawatan dalam tempoh tertentu ataupun menetapkan tarikh peralihan kuasa.
Sekiranya benar Mahathir bersetuju secara bertulis untuk letak jawatan, sudah pasti DAP dan Anwar akan memaparkan surat persetujuan tersebut di media tempatan ataupun mengumumkan terus tarikh yang dijanjikan oleh Mahathir sekiranya wujud tarikh tersebut.
Anwar turut tidak perlu menunggu lama untuk merampas kuasa sekiranya benar beliau berasa cemas dan boleh terus memohohon untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan bukti hitam putih sokongan majoriti ahli parlimen terhadapnya.
Di sini sahaja dapat dilihat bahawa Anwar tidak memiliki sokongan majoriti dan sedang bertungkus lumus mempengaruhi seramai mana ahli parlimen yang mungkin bagi mencukupkan bilangan yang diperlukannya untuk menentang Mahathir bersama DAP.
Pada 23hb Oktober 2019, saya menulis:
Semalam, Ronnie melontar pendapatnya bahawa PH tetap akan berjaya walaupun tanpa PPBM, selain mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan kuasa prerogatifnya membawa PH menyimpang daripada nilai aspirasi asalnya.
Luahan Ronnie dipercayai berpunca dari beberapa insiden melibatkan DAP baru-baru ini, di mana Mahathir dilihat memberi ‘tekanan’ kepada parti tersebut atas pelbagai isu bermula dari isu seni khat dan penulisan jawi.
DAP yang sebelum ini berdiam diri apabila pemimpinnya memainkan sentimen Islamophobia menerusi ceramah dan posting media sosial nampak terganggu apabila pihak Bukit Aman menahan empat ahlinya yang berjawatan di bawah SOSMA atas tuduhan terlibat dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).
Dua hari berikutnya, saya menulis:
Saya diberitahu, tindakan Ronnie sebenarnya ada kaitan dengan penasihat parti, Lim Kit Siang, yang berasa tidak puas hati dengan tindakan pihak polis menyiasat Dong Zong dan menahan beberapa ahli DAP di bawah SOSMA.
Menurut sumber, Lim terasa lemas kerana tahu kepimpinan DAP tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa berdiam diri sambil Mahathir menunjukkan taringnya kepada semua, terutamanya UMNO, sebagai tanda beliau amat berkuasa dan mampu melakukan apa-apa tanpa ditentang.
Ya, suka tak suka, Mahathir pada ketika ini mempunyai sokongan majorti ahli parlimen, termasuklah sepuluh daripada DAP, sekaligus menjadikan kedudukkan beliau sebagai Perdana Menteri kukuh dan di luar batasan pertikaian.
Sekiranya Kit Siang benar-benar ingin Mahathir letak jawatan dan yakin Anwar memiliki sokongan majoriti, sudah tentu beliau akan usahakan usul undi tidak percaya terhadap Mahathir sepertimana yang dirancang oleh pihak Anwar sebelum ini.
Malangnya, Lim tahu kedudukan Mahathir cukup kuat akibat dari kesedaran majoriti ahli parlimen bahawa sekiranya Anwar tidak mampu mengawal Dato’ Seri Azmin Ali, masakan beliau boleh menandingi gandingan Mahathir-Azmin.
Kit Siang juga tidak berani menumbangkan kerajaan PH dengan membawa keluar 32 ahli parlimen DAP dari gabungan tersebut, kerana tahu, sekiranya perkara ini berlaku, Mahathir akan terus meminta Agong membubarkan parlimen sambil memberitahu kepada masyarakat Melayu-Islam bahawa PPBM “berjaya menendang keluar DAP.”
Sudah pasti masyarakat Melayu-Islam akan mempercayai Mahathir melihatkan cara beliau menekan DAP menerusi penahanan empat ahli parti tersebut di bawah SOSMA atas tuduhan cuba menghidupkan keganasan LTTE di Malaysia.
Malah, masyarakat Melayu-Islam akan turut rasa bersyukur dengan Mahathir dan akan terus bersatu di belakang mana-mana gabungan yang diterajuinya selagi gabungan tersebut tidak melibatkan Lim Kit Siang dan kuncu-kuncunya.
DAP pula tidak akan mampu membentuk gabungan baru dengan mana-mana pihak, termasuk UMNO, memandangkan PAS tidak akan bekerjasama dengan UMNO sekiranya UMNO bersekutu dengan DAP.
Ini akan menjurus kepada satu lagi tsunami politik, di mana kali ini, PPBM bersama parti Warisan, GPS dan dua buah parti baru – satu pimpinan Azmin Ali, dan satu lagi pimpinan seorang dari sepuluh ahli parlimen DAP yang pro-Mahathr – akan menyapu terus majoriti undi Melayu-Islam dan Cina tanpa perlu sokongan UMNO atau MCA.
Dalam senario ini, PAS dijangka akan memihak kepada Mahathir kerana ketiadaan DAP akan memungkinkan penyatuan ummah menerusi pembentukkan gabungan perpaduan Melayu-Islam.
Sebaik sahaja gabungan ini diwujudkan, Mahathir pasti akan menghukum kesemua peimpin DAP yang dituduh terlibat dengan rasuah, salahguna kuasa dan kegiatan memarakkan gelombang perkauman dan Islamophobia.
