Apakah Mohamad Sabu akan menafikan ketiga-tiga bukti yang dikemukakan dan cuba mempertahankan Lim Guan Eng? Atau adakah Mohamad akan mengaku bahawa DAP merupakan sebuah parti berpenyakit dan tidak boleh dipercayai selagi pemimpin-pemimpinnya yang rasis dan anti-Islam tidak berundur?
Raggie Jessy Rithaudeen
محمد سابو اوسه چوبا ءحلالكنء سيكڤ راسيس ڤميمڤين دڤ
Presiden Amanah Mohamad Sabu perlu berhenti berpura-pura dan mengaku bahawa beberapa pemimpin DAP cukup bersalah memainkan sentimen perkauman dan anti-Islam hingga melagakan masyarakat Melayu-Islam dan Cina.
Berikut adalah tiga daripada berbelas-belas isu yang memiliki ciri-ciri perkauman dan anti-Islam yang dimainkan pemimpin DAP sepanjang 21 bulan Pakatan Harapan berkuasa:
1. LIM GUAN ENG FITNAH UMNO DAN PAS BERHUBUNG ISU BOIKOT PRODUK BUKAN BUMIPUTRA
Pada 12hb September 2019, saya berjumpa dengan pihak polis bagi meminta Ketua Polis Negara, Dato’ Seri Abdul Hamid Bador, untuk membuka kertas siasatan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan akta-akta lain yang berkaitan bagi menyiasat Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.
Ini berikutan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Lim di media berhubung isu “boikot produk keluaran bukan Bumiputra” di mana kenyataan-kenyataan ini disyaki bertujuan melagakan masyarakat bukan Islam dan Islam serta mencerminkan PAS dan UMNO sebagai parti rasis dan ekstremis lampau.
Kalau diselidik, isu ini hanya dimainkan oleh Lim Guan Eng hingga tular kerana dibawa oleh hampir semua media arus perdana yang utama.
Guan Eng secara terang menjadikannya isu politik dan perkauman apabila asyik mengajukan kata dua berbunyi ‘ugutan’ kepada UMNO, PAS, MCA dan MIC.
Lim secara tidak langsung mencadangkan bahawa UMNO dan PAS “memusuhi golongan bukan Islam dan bukan Melayu” sekiranya tidak menentang isu boikot.
Anehnya, kata dua ini tidak pernah ditujukan kepada parti-parti lain di PH yang turut bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam.
Kesemua ini mencadangkan Lim sengaja menimbulkan persepsi bahawa UMNO dan PAS terlibat dengan isu boikot kerana “memusuhi golongan bukan Islam dan bukan Melayu.”
Berdasarkan hujah-hujah ini, saya memberitahu pihak polis bahawa saya teramat yakin tindakan Lim adalah bertujuan untuk melagakan masyarakat bukan Islam dan Islam serta mencerminkan PAS dan UMNO sebagai parti rasis dan ekstremis lampau.
2. LIM GUAN ENG BERKATA BUKAN ISLAM TIDAK DIBENARKAN MENJALANKAN IBADAT SEMBAHYANG BAWAH FALSAFAH KEAGAMAAN ‘EKSTREMIS’ PAS DAN UMNO
Pada 7hb November 2019, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan bersabit kenyataan yang dikeluarkan beliau pada 3hb November 2019.
Dalam kenyataan tersebut, Lim, ketika berucap di sebuah majlis kenvensyen DAP di Muar, Johor, mendakwa kemenangan MCA di pilihan raya kecil (PRK) di Tanjung Piai akan menjurus kepada pengesahan (endorsement) falsafah keagamaan ekstremis PAS dan UMNO.
Menurut Lim lagi, PAS dan UMNO tidak membenarkan mereka yang bukan Melayu dan bukan Islam memegang jawatan menteri dalam kabinet.
Lim turut mendakwa falsafah PAS dan UMNO melarang masyarakat bukan Islam, khususnya mereka yang beragama Kristian, untuk berkumpul bagi menjalankan ibadat sembahyang masing-masing.
Petang tadi, saya mewakili pihak Gerakan Bangsa Nasional (GBN) dalam membuat satu laporan polis terhadap Lim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya atas tuduhan mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan, perkauman, anti-Melayu, anti-Islam dan pro-evangelis.
Dalam laporan tersebut, saya meminta jasa baik Ketua Polis Negara (KPN), Dato’ Seri Abdul Hamid bin Bador, untuk menahan dan menyiasat Lim bawah Akta SOSMA 2012 atas sebab-sebab berikut:
1. Saya mengesyaki Lim cuba mencucuk jarum kebencian agar masyarakat bukan Islam, khususnya yang beragama Kristian, takut pada agama Islam, budaya Islam, pentadbiran Islam serta masyarakat Melayu-Islam.
2. Kata-kata hasutan Lim mampu mencetuskan huru-hara dan boleh mengganggu gugat keharmonian dan perpaduan antara kaum.
Saya turut meminta pihak polis menyiasat parti DAP dan portal www.dapmalaysia.org yang memuat naik teks ucapan penuh Lim pada 3hb November 2019.
Saya memberitahu polis bahawa tindakan memuat naik teks tersebut tanpa sebarang kata penafian membuktikan DAP menyokong penuh hujah Lim memandangkan portal www.dapmalaysia.org merupakan saluran pemberitahuan DAP berhubung agenda parti dan sebagainya.
3. BUKU KOMIK PRO-KOMUNIS, PRO-CHINA, ANTI-ISLAM DAN ANTI-PERPADUAN YANG DIKAITKAN DENGAN DAP DAN DIHARAMKAN KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Rakyat Malaysia dikejutkan dengan penularan sebuah buku komik propaganda yang dikaitkan dengan seorang pemimpin DAP dan diedar secara senyap di sekolah-sekolah aliran Cina.
Komik tersebut diterbitkan pada bulan April 2019 dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling.
Bukan hanya komik ini memiliki tiga mukasurat yang berunsur anti-Islam, ianya jelas bersifat pro-China dan turut memiliki ciri-ciri pro-komunis.
Pengedaran buku komik ini bukan hanya berada dibawah pengetahuan Lim Guan Eng dan Timbalan Menteri Pendidikan dari DAP, Teo Nie Ching, ianya diterbitkan oleh Asia Comics and Cultural Museum yang separa dibiayai Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan berkait rapat dengan DAP.
Malah, Guan Eng sendiri mengaku telah menulis prakata bagi buku komik berkenaan yang jelas cuba mempengaruhi minda anak-anak Cina yang muda dengan elemen-elemen bersifat perkauman dan anti-Islam.
Guan Eng tidak pernah meminta maaf berhubung perkara ini.
Terdapat banyak lagi isu yang bersifat rasis dan anti-Islam yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin DAP. Apakah Mohamad akan menafikan ketiga-tiga contoh yang dikemukakan dan cuba mempertahankan Guan Eng?
Atau adakah Mohamad akan mengaku bahawa DAP merupakan sebuah parti berpenyakit dan tidak boleh dipercayai selagi pemimpin-pemimpinnya yang rasis dan anti-Islam tidak berundur?
