“Kegagalan Muhyiddin membuat laporan polis merupakan kesalahan di sisi undang-undang kerana Muhyiddin akan dianggap sebagai melindungi seorang penjenayah atau menggalakkan jenayah yang telah dilakukan oleh penjenayah itu”
Raggie Jessy Rithaudeen
محي الدين ملاكوكن كسالهن جنايه جك تيدق بوات لاڤورن ڤوليس
TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera membuat laporan polis atau mendedahkan jika laporan polis sudah dibuat berhubung tindakan pihak yang didakwa mendesaknya mencampuri urusan mahkamah.
Dalam satu kenyataaan, Muhyiddin mendakwa desakan itu adalah bagi membebaskan beberapa individu yang didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah.
“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.
“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,” katanya.
Jika benar berlaku desakan sebegini, ianya merupakan satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang.
Ini kerana mereka yang dituduh melakukan jenayah telah cuba untuk mendapatkan bantuan seorang yang memiliki kuasa eksekutif untuk mempengaruhi prosiding mahkamah agar mereka boleh dibebaskan.
Menerusi pendedahan ini, persepsi sudah ditimbulkan bahawa Perdana Menteri samada mempunyai kuasa, hak dan (atau) kebolehan untuk mempengaruhi atau mencampuri urusan mahkamah sehingga seorang yang sedang dibicarakan boleh dibebaskan.
Kegagalan Muhyiddin membuat laporan polis bukan hanya mengukuhkan persepsi itu, ianya merupakan kesalahan di sisi undang-undang kerana Muhyiddin akan dianggap sebagai melindungi seorang penjenayah atau menggalakkan jenayah yang telah dilakukan oleh penjenayah itu.
Di dalam laporannya, Muhyiddin perlu mendedahkan nama kesemua individu yang mendesaknya untuk mencampuri urusan mahkamah dan reaksi atau jawapan beliau kepada mereka ketika desakan itu dibuat.
Memandangkan perkara ini sudah dibawa kepada perhatian umum, Muhyiddin perlu juga mendedahkan nama-nama itu di umum jika benar beliau tidak melayani desakan mereka dan tidak pernah berniat untuk mencampuri urusan mahkamah.
Kegagalan Muhyiddin berbuat demikian akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan aksi tuding-menuding jari yang sudah menjadi lumrah dalam politik tanah air dan akan berterusan selagi nama kesemua individu terbabit tidak didedahkan.
WAJIB BACA:
