Raggie Jessy Rithaudeen
Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pelbagai dakwaan ‘tersirat’ berhubung perjumpaan sulit melibatkan bekas pegawai Gerakan Unit Selam Tempur di cawangan Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Azilah bin Hadri, besama seorang VVIP yang tidak dinamakan.
Sejurus kemudian, TTF menerbitkan satu pengakuan yang dibuat oleh bekas peguam Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Datuk Zulkifli Noordin, yang turut merupakan peguam bela Azilah yang dijatuhkan hukuman mati kerana disabit kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada Oktober 2006.
Kedua-dua pembongkaran ini berkait langsung dengan satu Akuan Bersumpah baru bertarikh 17hb Oktober 2019 yang ditandatangani Azilah di mana beliau dakwa menerima arahan langsung daripada Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk membunuh Altantuya.
Isnin lalu, saya menulis:
Saya kurang yakin dengan pendedahan Azilah ini dan tertanya-tanya mengapa beliau sanggup merangkak dalam penjara menunggu dijatuhkan hukuman mati sedangkan Mahkamah Tinggi Shah Alam selesai membicarakan kes dan menjatuhkan hukuman pada 19hb Oktober 2006.
Tidak masuk akal seorang yang tidak bersalah yang mampu membuat SD begitu terperinci tidak menampilkan fakta-fakta yang terkandung dalam SD berkenaan kepada Mahkamah sewaktu dibicarakan biarpun tahu penyembunyian fakta berkenaan akan menjurus kepada hukuman gantung sampai mati.
Justeru, saya mengesyaki Azilah disogok membuat SD terbaru ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.
Walaubagaimanapun, saya tidak dapat pastikan pihak mana, sekiranya ada, yang menyogok Azilah berbuat demikian, cuma bahawa ianya kelihatan seperti satu konspirasi tahap tinggi untuk memutarbelit fakta dan mempengaruhi persepsi umum.
Setelah mengadakan dua siri perbincangan dengan pihak-pihak tertentu, saya mengisytiharkan, dengan penuh keyakinan, bahawa:
- Akuan Bersumpah Azilah adalah penipuan semata-mata
- biar siapapun yang berjumpa dengan Azilah di dalam atau di luar penjara, Akuan Bersumpah palsu itu tidak dirancang oleh sesiapa yang pada ketika ini memegang jawatan rasmi dalam kerajaan.
- Akuan Bersumpah palsu itu turut tidak dirancang oleh sesiapa yang pada ketika ini menjadi ahli parti-parti pembangkang di peringkat persekutuan.
Satu laporan polis, yang seharusnya dibuat hari ini, akan dibuat esok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Azilah bin Hadri pada pukul 3 petang.
Sekian.
