Khairuddin Abu Hassan
راج-راج ملايو ڤرلو ماءينكن ڤرانن ڤقسا ماهيا الدين سڬرا اداكن اوندي تيدق ڤرچاي
Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja perlu memainkan peranan memastikan agar keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dipelihara pada setiap masa.
Semalam, presiden UMNO sudah umumkan bahawa 10 atau lebih ahli parlimen UMNO sudah menandatangani surat akuan menarik sokongan terhadap Mahiaddin.
Memandangkan majoriti Mahiaddin Yassin kini menjadi pertikaian, amat perlu bagi usul undi tidak percaya dibawa ke parlimen dengan kadar segera menerusi persidangan tergempar sehari agar keabsahan kerajaan pimpinan Mahiaddin Yassin dapat ditentukan.
Dengan membiarkan ketidaktentuan ini berterusan, politik negara akan terus diporak peranda dan bergolak, manakala pelabur akan terus melarikan diri.
Majlis Raja-Raja turut perlu memainkan peranan khusus dalam perkara ini dengan mengadakan persidangan tergempar setelah melihat sendiri cara Mahiaddin Yassin menipu rakyat dan mengenepikan titah Yang Di-Pertuan Agong selama ini.
Jika keadaan ini dibiarkan, bukan hanya maruah Intitusi Diraja akan tercalar, rakyat yang kini mengalami pelbagai kesempitan disebabkan kegagalan kerajaan dan menaruh harapan tinggi terhadap Institusi Diraja akan beranggapan bahawa kerajaan berhak mengenepikan titah Yang Di-Pertuan Agong tanpa segan dan silu.
Memang amat sukar bagi sesiapa mempercayai kerajaan Mahiaddin Yassin yang terlalu sibuk berpolitik dan bercatur serta menderhakai titah Yang Di-Pertuan Agong demi menangguh sidang parlimen dan menghalang perbahasan Ordinan Darurat dan Proklamasi Darurat sebelum tamat tempoh Darurat.
Saya merayu kepada Majlis Raja-Raja untuk mendengar keluhan rakyat dan memainkan peranan langsung bersama-sama Yang Di-Pertuan Agong sebagai pelindung perlembagaan persekutuan serta penegak kedaulatan undang-undang.
Tidak ada jalan lain bagi menyelesaikan kemelut politik ini melainkan memaksa Mahiaddin Yassin untuk mengadakan undi percaya atau tidak percaya dengan kadar serta-merta.
WAJIB BACA:
