“Perkara ini sudah lama berada dalam pengetahuan saya, malah saya sudah menegaskan sejak bulan Ogos 2018 lagi bahawa rancangan Mahathir dari awal adalah untuk menjadikan Azmin sebagai Perdana Menteri”
Raggie Jessy Rithaudeen
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjawab ringkas kepada wartawan bahawa beliau akan mengotakan janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ditanya seorang wartawan berkenaan tarikh penyerahan kuasa, Mahathir, yang kelihatan agak menyampah, berkata tarikh tersebut akan diumumkan kemudian sebelum mengalihkan pandangannya ke wartawan lain.
Rabu lalu, dalam wawancara dengan Bloomberg Television, Anwar berkata tiada tanda parti lain akan memperkenalkan nama lain untuk merebut jawatan itu dan jika ada, lawannya tidak relevan.
“Terdapat perjanjian mengatakan (proses penyerahan jawatan) akan dibuat dalam bulan dinyatakan (Mei 2020), namun saya tidak rasa saya perlu terlalu memikirkan tarikh tepat.
“Sama ada proses pengambilalihan jawatan Perdana Menteri akan berlaku dua tahun selepas Dr Mahathir memegangnya, sudah terdapat perjanjian menyatakan beliau (Dr Mahathir) akan meletak jawatan pada waktu bersesuaian,” katanya dalam temuramah tersebut.
Anwar berbohong.
Sebelum ini, saya sudah berulang kali menegaskan bahawa tidak pernah ada perjanjian bertandatangan ataupun lisan melibatkan Anwar dan Mahathir berhubung peralihan kuasa Perdana Menteri dalam tempoh tertentu.
Ini kerana persetujuan antara pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan berhubung perkara tersebut berupa cadangan, tidak pernah ditafsir sebagai perjanjian rasmi dan berlaku ketika Anwar masih lagi menjalani hukuman di penjara Sungai Buloh.
Malah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir pernah mengesahkan bahawa tidak ada garis masa tertentu yang dipersetujui bapanya berhubung penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.
Dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review Julai lepas, Mukhriz berkata, walaupun Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sudah memutuskan DrMahathir dan Anwar mempunyai persetujuan mengenai rancangan penggantian itu, tetapi jangka masa selama dua tahun tidak pernah dipersetujui.
“Tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun. Mungkin ada cadangan seperti itu, tetapi tiada dinyatakan di atas kertas atau perjanjian secara lisan,” katanya.
Sebelum itu, pada 23 hb Julai 2019, Tan Sri Rais Yatim turut mendakwa bahawa tiada perjanjian rasmi yang menyatakan Anwar akan mengambil alih jawatan perdana menteri.
“Saya tidak nampak terdapat perjanjian itu. Ini politik, tiada perjanjian kecuali ada hitam putih,” katanya kepada wartawan.
“Walaupun PH bercakap mengenai hal ini, namun tiada yang konkrit Anwar akan menjadi perdana menteri selepas dua tahun.”
Salah seorang penyokong tegar Mahathir, Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan, turut memberi isyarat beberapa kali bahawa orang yang bakal menggantikan Mahathir ialah Dato’ Seri Azmin Ali, bukannya Anwar.
Perkara ini sudah lama berada dalam pengetahuan saya, malah saya sudah menegaskan sejak bulan Ogos 2018 lagi bahawa rancangan Mahathir dari awal adalah untuk menjadikan Azmin sebagai Perdana Menteri.
Pada 13hb Jun 2019, saya menulis:
Biar sesiapapun dalang di sebalik video (seks melibatkan Haziq dan orang yang dikatakan Azmin), ianya sudah tentu akan mencetuskan perbalahan sengit di antara puak Azmin dan puak Anwar dan sekaligus memecah-belahkan PKR sepertimana yang dikehendaki Mahathir.
Azmin sudah tentu akan mengesyaki Anwar dan akan memberikan jaminan 200 peratus kepada Mahathir bahawa beliau tidak akan terfikir untuk bersekongkol dengan Anwar setelah menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Mahathir pula akan mampu mencantas Azmin pada bila-bila masa sekiranya perlu memandangkan isu homoseks terbaru ini akan sentiasa menghantui Azmin dan mampu memusnahkan karier politiknya sekiranya tidak mendapat sokongan Mahathir dan anaknya, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.
Apa yang jelas,Mahathir sudahpun memulakan langkahnya untuk meletakkan titik noktah pada karier politik Anwar dan dipercayai akan memastikan bekas timbalannya akan merangkak kembali di penjara Sungai Buloh.
Bagi menjayakan rancangan tersebut, Mahathir melantik Latheefa Koya sebagai ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa merujuk Jawatankuasa Pelantikan Khas Parlimen, Kabinet ataupun ahli-ahli parlimen.
Latheefa dijangka akan membuka semula fail Lim Guan Eng berhubung pembelian Bungalow di bawah harga pasaran dan turut dijangka akan merujuk kembali fail-fail bersangkut-paut skandal terowong dasar laut Pulau Pinang dan skandal penjualan tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang.
Guan Eng kemudiannnya akan dipanggil ke meja rundingan bersama ayahnya, Lim Kit Siang, bagi membuat pilihan sekiranya bersetuju Azmin dijadikan Perdana Menteri ke-8 ataupun sekiranya mereka masih berdegil untuk menjadikan Anwar Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Opsyen pertama akan melihat Mukhriz dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Kewangan, manakala opsyen kedua dipercayai akan melihat Guan Eng menjadi timbalan Anwar dan Rafizi Ramli, menteri kewangan.
Sekiranya Guan Eng memilih opsyen kedua, beliau berkemungkinan besar akan dihadapkan dengan belasan tuduhan rasuah dan salahguna kuasa dan sudah pasti akan dihumban masuk ke penjara dalam tempoh masa tersingkat.
Sekiranya beliau memilih opsyen pertama, Mahathir akan mendapatkan deklarasi daripada kesemua ahli parlimen DAP, PPBM, AMANAH, WARISAN dan mereka di PKR yang bersekongkol dengan Azmin untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai bukti Azmin mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.
Susulan itu, Mahathir akan letak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia tetapi kekal sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.
Beliau kemudiannya akan mengadap Agong bagi mempersembahkan ‘keyakinan’ majoriti ahli parliemen terhadap Azmin supaya Tuanku Baginda berkenan melantik Azmin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Apapun, pada ketika itu, Anwar samada sudah berada di penjara Sungai Buloh ataupun dihadapkan ke Mahkhamah atas tuduhan meliwat dan akan dipaksa bersemuka dengan Ketua Hakim baru yang sememangnya yakin beliau peliwat.
Umum perlu faham, biar teliti manapun rancangan Mahathir, beliau tahu bahawa ianya berisiko menemui kegagalan biar kecil mana risiko tersebut.
Justeru, beliau bersiap sedia untuk membubarkan parlimen pada bila-bila masa sekiranya terdapat tanda-tanda rancangannya akan gagal.
Saya yakin bahawa inilah faktor utama yang mendorong beliau untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong secara senyap semalam tatkala rakyat Malaysia digemparkan dengan video-video seks Azmin.
Dan setahu saya, bukan hanya apa yang saya katakan selama ini adalah benar, kalau ada pun perubahan dalam rancangan Mahathir, mungkin ada calon PM kedua.
Tetapi Azmin tetap pilihan utama.
Malah, pernah juga saya bongkar bahawa Azmin mungkin menyertai PPBM sekiranya beliau tidak jadi mengadakan EGM untuk mencabar Anwar bagi jawatan presiden PKR.
Saya difahamkan bahawa Azmin masih sedang menimbang opsyen tersebut dan mempunyai sokongan yang cukup kuat dalam PKR untuk gulingkan Anwar.
Bersambung…
FOLLOW US ON TELEGRAM AND TWITTER:
TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen (click here)
TELEGRAM: Rosdzaman Dato’ Hj Mohd Yusup
TELEGRAM: Norismail Sarbini
TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen (click here)
WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com
