Sebaik ditikam, dalam keadaan berlumuran darah, bunyi Azan mula berdengung di kepala ku (Bahagian Dua)

Raggie Jessy Rithaudeen

سبايق دتيكم، دالم كادأن برلومورن داره، بوڽي اذان مولا بردڠوڠ د كڤالا كو

Saudara saudari sekalian, cerita saya ini tidak menurut tertib yang teratur dan berselang-seli di antara tempoh-tempoh tertentu, bermula dari tahun 1998 hinggalah ke hari ini, berdasarkan apa yang ingin saya sampaikan.

Dalam bahagian pertama (lihat hujung bawah), saya menceritakan perihal satu kejadian ngeri yang menimpa diri saya di sekitar tahun 2004 (kalau tak silap saya) di mana saya ditikam dan dibiarkan untuk mati di kawasan Island Glades, Pulau Pinang.




Untuk bahagian ini, saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kejadian tersebut dan bagaimana ianya merupakan kali pertama saya dapat rasakan dalam setiap urat di tubuh saya cahaya kebesaran Allah S.A.W.

Ceritanya begini:

Pada suatu malam, setelah selesai mempengerusikan satu ‘pertemuan’ anti-Anwar di restoran Makbul Nasi Kandar, Jalan Sungai Dua, Pulau Pinang, saya menghala terus ke sebuah gym di kawasan berhampiran.

Gym yang saya maksudkan ini namanya Flexion dan terletak di sebuah deret rumah-kedai tiga tingkat di kawasan Island Glades, Jalan Yap Chor Ee.

Sebelum hari kejadian, saya kerap diekori oleh beberapa individu yang membawa kereta mewah bercermin gelap, di mana individu-individu ini samada berbangsa India ataupun kelihatan seperti kacukan Pakistan-Melayu.

Apabila saya sampai di Flexion lebih kurang pukul 9.30 malam, saya memulakan rutin senaman saya di gym berkenaan sebelum ianya ditutup pada pukul 10.30 malam.

Seperti biasa, sayalah orang terakhir yang berada di perkarangan luar Flexion yang terletak di tingkat dua deret rumah-kedai berkenaan.

Loading...

Untuk makluman, kawasan di sekitar luar bangunan gym berpagar dan terletak di sebelah jalan utama, iaitu Jalan Yap Chor Ee, yang agak jarang dari segi kekerapan kenderaan berlalu pada waktu itu.

Biarpun begitu, kawasan tersebut diselubungi oleh cahaya dari lampu-lampu jalan yang cukup terang dan dikelilingi oleh sebuah apartment sederhana-mewah di sebelah hadapan jalan utama dan rumah-rumah teres dua tingkat di sebelah belakang bangunan gym.

Tidak jauh dari situ pula terletak sebuah surau di kawasan yang dikenali sebagai Kampung Kastam. Seperti biasa, saya duduk di anak tangga di luar bilik gym sambil menghisap sebatang dua rokok “Marlboro.”

Pada ketika itu, bangunan gym sudahpun berada dalam keadaan sunyi. Setelah habis merokok, saya pun bangun dan menuju ke arah kereta saya yang terletak di depan bangunan dan terus membuka bonet belakang untuk menyimpan beg pakaian saya.

Tiba-tiba, saya mendengar jeritan seorang individu yang datang dari arah belakang saya. Apabila saya menoleh, saya melihat seorang lelaki berdiri betul-betul di belakang saya dan sedang mengajukan sebilah pisau ke arah tengkuk saya.

Apa lagi, saya terus menghulurkan tangan saya ke luar secara refleks untuk menahan pisau tersebut yang panjanganya lebih kurang enam inci. Sejurus kemudian, saya dapat rasakan keseluruhan enam inci tersebut menusuk tangan kiri saya di antara jari telunjuk dan jari hantu.

Tiba-tiba, saya mula diselubungi satu perasaan aneh dan tahu pisau berkenaan sudahpun terkena saluran nadi. Pada ketika itu, bukan hanya darah mula memancut-mancut keluar dari tangan saya, saya berada dalam keadaan tidak bermaya dan betul-betul bersemuka dengan lelaki berkenaan.

Apa yang aneh, apabila saya bersemuka dengannya, bunyi azan mula berdengung dalam kepala saya. Biarpun kejadian tersebut berlaku di sekitar tahun 2004, saya pasti bahawa ianya berlaku di antara pukul 11 dan 11.30 malam.

Saudara saudari sekalian, memang tidak ada Azan berkumandang di surau Kampung Kastam pada ketika itu.

Biarpun dah lama merapati Islam, pada ketika itu, saya masih lagi menganggap diri saya sebagai “a free thinking Buddhist” dan tidak tahu melafazkan Azan melebihi dua-tiga patah perkataan.

Tetapi apa yang pasti, bunyi Azan itu datang bukannya dari luar, tetapi dari dalam diri saya sendiri dan membuatkan saya terrasa aman dan tidak lagi berada dalam kesakitan.

Malah, saya dapat menghayati setiap perkataan yang dilafazkan dengan penuh kesempurnaan seolah-olah saya sendiri yang sedang melafazkannya. Tidak pernah pula saya ceritakan perkara ini kepada sesiapa pun sebelum ini.

Pada ketika itu, saya tidak tahu berapa kali saya ditikam oleh lelaki yang bersenjata itu. Walaubagaimanapun, saya pasti dia mengenali saya, kerana saya terdengar nama ‘samaran’ saya disebut-sebut olehnya, seolah-olah dia sedang berbual dengan seseorang yang berada di situ.

Dunia saya kemudian beransur-ansur menjadi malap. Saya tidak lagi mampu membezakan antara yang sahih dan yang palsu, yang nyata dan yang ghaib. Saya mula diselubungi perasaan yang teramat indah yang lebih indah dari segala keindahan di alam nyata ini.

Dan pada ketika itulah, dalam keadaan bunyi Azan masih lagi berdengung di kepala ku, saya, yang masih belum lagi bergelar seorang Muslim, tiba-tiba berdoa secara sukarela, (dalam Bahasa Inggeris), dan berkata, “Ya Allah, cabutlah nyawa ku, bawa lah diri ku masuk ke dalam keindahan yang dapat ku rasakan ini.”

Bersambung…

BAHAGIAN PERTAMA:

Kali pertama saya rasa kebesaran Allah ialah ketika saya ditikam dan dibiar untuk mati (Bahagian satu)



Your donation is much appreciated and will go a long way towards helping us serve you better. Click the donate button below to make a contribution (you don't need a Paypal account to donate through Paypal, simply follow the instructions once you click the button).


SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...