Sikap ‘tak puas hati’ UMNO bakal runtuhkan kerajaan persekutuan

“UMNO perlu elak daripada membawa perpecahan dalam Kabinet dan ambil iktibar dari PAS yang duduk diam biarpun tahu Muhyiddin tidak melantik seorang pun ahli parlimen dari parti berkenaan untuk bersama Azmin sebagai de facto Deputy Prime Minister”

Raggie Jessy Rithaudeen

سيكڤ ءتق ڤواس هاتيء امنو باكل رونتوهكن كراجأن ڤرسكوتوان

Sikap UMNO yang mempersoalkan pelantikan menteri-menteri kabinet secara terbuka tanda jelas berlaku ‘perang dingin’ dan ketidaksefahaman antara parti-parti komponen Perikatan Nasional, khususnya Barisan Nasional dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).




Ini susulan kenyataan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang berkata pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ‘orang nombor dua negara’ merupakan langkah meneruskan agenda kelangsungan PPBM.

Sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin menulis di Facebook rasmi beliau bahawa mesyuarat MKT dan Biro Politik UMNO bersetuju “kerajaan yang ada hanyalah perikatan antara ahli-ahli parlimen dan bukan kerjasama antara parti-parti.”

Persoalannya, bukankah itu lebih kurang apa yang dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kepimpinan tertinggi UMNO awal-awal lagi?

Dan jika ya pun UMNO tidak berpuas hati, tidak kah terfikir pemimpinnya untuk mengadakan muzakarah bersama PPBM, PAS, MCA dan MIC bagi mecapai kata sepakat daripada merungut di khayalak ramai sepertimana yang kerap dilakukan oleh kem Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Tidak lama selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Annuar Musa memberitahu sidang media bahawa UMNO menolak cadangan Mahathir untuk membentuk sebuah kerajaan yang tidak berpaut kepada kerjasama antara parti-parti tetapi kelayakan ahli-ahli parlimen dan teknokrat.

Bukankah ini lebih kurang sama dengan apa yang diputuskan oleh MKT dan biro politik UMNO baru-baru ini dan mirip kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Pada 26hb Febuari 2020, saya menulis:

Loading...

“Mahathir tidak pernah menjemput UMNO en bloc ataupun kesemua pemimpinnya untuk membentuk gabungan baru bersama ahli-ahli parlimen dari PPBM, PAS, AMANAH, Sabah, Sarawak dan kem Azmin serta mereka dari DAP yang tidak bersekutu dengan Lim Kit Siang.

“Dari awal, matlamat Mahathir ialah untuk membentuk gabungan perpaduan dengan ahli-ahli parlimen sahaja bagi mewakili  aspirasi dan kepentingan masyarakat majmuk menerusi pentadbiran yang bertunjangkan majoriti Melayu-Islam.

“Apa yang sebenarnya dirancang oleh Mahathir akhirnya akan menjurus juga kepada penyatuan ummah, cuma ianya turut memberi pertimbangan terhadap perpaduan nasional yang berkekalan.

“Kenyataan Tan Sri Annuar Musa kononnya UMNO tidak terima keinginan Mahathir untuk tubuhkan sebuah kerajaan baru bersama DAP adalah kurang tepat memandangkan Mahathir tidak pernah sekali pun menjemput UMNO atau DAP en bloc.

“Sebenarnya, perkara ini sudahpun diketahui oleh kepimpinan tertinggi UMNO dari awal, sekaligus bermakna kumpulan Annuar samada terkhilaf fakta atau berniat tidak baik.

“Mungkin juga kumpulan Annuar memutuskan untuk menggunakan peluang ini bagi ‘mencantas’ Mahathir semata-mata kerana pemimpin tertentu dari UMNO tidak dipertimbangkan buat ketika ini.

Jika diteliti, jelas bahawa UMNO beranggapan Muhyiddin akan menubuhkan sebuah kabinet menurut acuan Barisan Nasional, di mana Perdana Menteri hanya akan memilih calon-calon daripada gabungan terbesar dalam Dewan Rakyat (menurut pecahan agihan kerusi parti-parti komponen) untuk menganggotai barisan Jemaah Menteri.

Tetapi UMNO lupa, ianya bukan lagi terikat kepada ideologi ataupun budaya Barisan Nasional, tetapi ideologi satu pergabungan baru melibatkan PPBM, PAS, MCA dan MIC, di mana kesemua parti komponen tidak perlu menurut acuan Barisan Nasional tetapi wajib mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pelantikan Jemaah Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Perdana Menteri dan hanya bersandar kepada keahlian dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara, bukannya keahlian dalam mana-mana parti politik

Dengan kata lain, Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogatif untuk membentuk sebuah kabinet yang terdiri daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara tanpa mengambil kira parti politik yang diwakili ahli-ahli berkenaan.

Annuar Musa dan Khalid Nordin perlu sedar akan perkara ini dan mengaku bahawa kepimpinan tertinggi UMNO cukup tahu perihal penyertaan Azmin Ali dalam PPBM sewaktu tertubuhnya Perikatan Nasional dan tidak berhak menyoal Muhyiddin berkenaan pelantikan Azmin sebagai de facto Deputy Prime Minister.

Ini memandangkan pembentukan kerajaan baru oleh Muhyiddin hanya perlu bersandar kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan, bukannya ideologi yang diguna-pakai oleh Barisan Nasional ataupun kehendak-kehendak pemimpin UMNO.

Sebagai langkah awal, sudah pasti Muhyiddin akan memilih seorang yang dipercayainya (Azmin Ali) sebagai “orang paling kanan” memandangkan kerjasama Barisan Nasional dan PPBM adalah secara ‘mengejut’ dan tidak dijangka.

UMNO perlu elak daripada membawa perpecahan dalam Kabinet dan ambil iktibar dari PAS yang duduk diam biarpun tahu Muhyiddin tidak melantik seorang pun ahli parlimen dari parti berkenaan untuk bersama Azmin sebagai de facto Deputy Prime Minister.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...