TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
“Selepas kehakiman dibuat dan hukuman dijatuhkan, peguam Najib sendiri tidak menimbulkan isu ‘penahahan bukti’ oleh Goldman Sachs dan mengaku bahawa Hakim Mohd Nazlan melakukan tugasnya secara jujur”
Raggie Jessy Rithaudeen
اوسها تردسق ءكليروكن رعيتء دڠن ڤرسيڤسي ڤلسو كونونڽ نجيب ءمڠساء كونسڤيرسي
Laskar Siber pro-Najib sedang sibuk menimbulkan persepsi kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak diaibkan susulan beberapa pendedahan melibatkan Goldman Sachs dan seorang peguam yang berkait dengan institusi kewangan tersebut.
Kononnya, disebabkan Goldman Sachs gagal mendedahkan kepada peguam-peguam Najib nama pegawai 1MDB dan kerajaan Malaysia yang disogok, Najib gagal membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.
Ini adalah satu helah terdesak yang disyaki bersangkut-paut dengan Pilihan Raya Umum yang bakal diadakan, kerana jika benar pihak pembelaan akan menggunakan perkembangan terbaharu ini sebagai hujah ‘menyelamatkan’ Najib, ianya tidak seharusnya dibicarakan di umum oleh mana-mana pihak yang berkait dengan Najib, termasuk peguam Najib sendiri.
Hakikatnya, kes Najib mampu berdiri sendiri bagi membuktikan, berdasarkan hujah-hujah Najib sendiri, bahawa berlaku unsur-unsur pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram oleh Najib melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang berkemungkinan berasal daripada dana pencen Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM4 bilion.
Dalam proses perbicaraan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa pihak dari SRC yang berkait secara langsung dengan Najib telah, secara serahan tangan, mengemukakan surat permohonan pinjaman berjumlah RM3.95 bilion mewakili anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd.
Pihak pendakwaan turut berjaya buktikan bahawa surat bertarikh 3 Jun 2011 itu – yang ditandatangani oleh Pengarah SRC International, Ariff Kamil – mempunyai nota tulisan tangan Najib yang mengatakan “Bersetuju dengan cadangan (pinjaman) ini”.
Mahkamah turut disajikan dengan bukti bagaimana permohonan pinjaman sebanyak RM2 bilion yang akhirnya diluluskan tidak mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan oleh KWAP.
Banyak juga keraguan timbul dalam pembelaan Najib apabila beliau samada tidak ingat atau tidak pasti berhubung sesuatu perkara yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, berkata keputusan meluluskan permohonan SRC untuk mendapatkan Jaminan Kerajaan bagi pembiayaan RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) menjadikan Najib memiliki akses kepada lebih banyak dana dalam syarikat pelaburan strategik itu.
Beliau berkata, adalah perlu untuk ditekankan bahawa Najib memiliki kepentingan dalam SRC International dan menyertai mesyuarat Kabinet yang kemudian meluluskan Jaminan Kerajaan bagi pembiayaan itu.
Katanya, fakta dalam perbicaraan ialah kes menyalahgunakan kedudukan yang dihadapi Najib membabitkan pihak kerajaan dan SRC International, di mana tertuduh mengetuai kerajaan dengan mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC International yang dikendalikannya.
Perbicaraan SRC turut membuktikan bahawa surat derma RM2.6 bilion yang didakwa oleh Najib sendiri (sebelum Pilihan Raya Umum ke-14) “merupakan derma dari Raja Arab Saudi” tidak ditandatangani oleh Putera Arab Saudi, Putera Al-Saud Abdulaziz.
Walaupun isu RM2.6 bilion tidak berkait secara terus dengan kes SRC, Najib secara peribadi mengaku bahawa beliau tidak mengesahkan sumber dana RM2.6 billion yang masuk ke dalam akaun peribadinya.
Najib turut mengaku bahawa beliau hanya “menganggap” dana itu adalah ‘derma’ setelah Raja Arab Saudi pada ketika ‘derma’ itu dibuat, Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud, mengesahkan sokongannya terhadap Najib.
Ini sekaligus bermakna Najib mengaku tidak tahu samada Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud benar-benar menderma RM2.6 bilion kepadanya ataupun tidak.
Ianya turut merupakan pengakuan secara tidak langsung oleh Najib sendiri bahawa beliau memperdaya seluruh rakyat Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 apabila mengesahkan bahawa dana itu sah derma daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud.
Perkara ini turut diakui oleh Najib pada 26hb Oktober 2018 dalam satu temuramah bersama Al Jazeera.
Kesemua penemuan ini dan beberapa pengakuan lain yang dibuat oleh Najib sendiri berjaya membuktikan kewujudan unsur pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram tidak kira pegawai mana dari kerajaan atau 1MDB disogok oleh Goldman Sachs.
Malah, selepas kehakiman dibuat dan hukuman dijatuhkan, peguam Najib tidak menimbulkan sebarang keraguan berkenaan isu ‘penahahan bukti’ oleh Goldman Sachs dan mengaku bahawa Hakim Mohd Nazlan telah melakukan tugasnya secara jujur.
Jadi nasihat saya kepada Najib dan Laskar-Laskar Siber yang sedang giat menimbulkan persepsi palsu ialah “berhenti berdrama dan tunggu hingga Mahkamah rayuan membuat keputusan.”
MUST READ:
