“Jika Zahid berdegil dan menunggu sehingga bulan Febuari sebelum menarik sokongan Team A terhadap Perikatan Nasional, beberapa ahli parlimen dari Team B dijangka akan berbuat demikian dalam masa terdekat”
Raggie Jessy Rithaudeen
زاهيد، نجيب ترجرت، صح كنا ڬيته…
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam keadaan amat tertekan susulan kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan Surat Akuan Bersumpah dalam jumlah yang mencukupi untuk dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong.
Ini kerana Zahid dan Najib gagal meyakinkan ahli-ahli parlimen dari Team B untuk menyokong Anwar dan tahu presiden PKR itu tidak memiliki sokongan kesemua 91 ahli parlimen dari Pakatan Harapan.
Pada 24hb Disember 2020, saya menulis:
Team A tahu sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional merosot teruk kebelakangan ini dan amat memerlukan bantuan dana dari Belanjawan 2021 untuk menabur pelbagai janji menjelang PRU15.
Team A turut tahu bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak akan bersetuju untuk membubarkan parlimen buat masa ini memandangkan jumlah kes Covid-19 masih belum menurun ke tahap dua digit.
Justeru, Najib dan Zahid sanggup menunggu sehingga bulan Febuari dengan harapan angka Covid-19 menurun sebelum cuba mencetuskan pembubaran parlimen.
Sekiranya Team A bertindak menarik sokongan terhadap Muhyiddin dalam masa terdekat, Najib dan Zahid takut Tun Dr Mahathir Mohamad akan berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 jika Yang Di-Pertuan Agong bertindak melantik Perdana Menteri baharu.
Sebaliknya, jika Team A sabar dan menunggu sehingga bulan Febuari, bukan hanya kemungkinan untuk parlimen dibubarkan lebih tinggi, menteri-menteri dari Barisan Nasional akan dapat menabur pelbagai janji menggunakan peruntukan dari dana dari Belanjawan 2021 sebelum parlimen dibubarkan dan PRU15 berlangsung.
Zahid kini tahu kewujudan ‘blok pemisah’ baharu dalam UMNO yang menuntut agar kerjasama UMNO dan PPBM dihentikan serta merta, bukan hanya di Pilihan Raya Umum ke-15.
Blok ini dipercayai bersekutu dengan Team B yang diketahi bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan inginkan perubahan dalam tampuk kepimpinan negara dengan kadar segera.
Petang tadi, saya menulis:
Sebentar tadi, UMNO bahagian Paya Besar mengemukakan usul menolak kerjasama dengan PPBM (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Walaubagaimanapun, TTF difahamkan bahawa berlaku scenario ‘mesyuarat-dalam-mesyuarat’ di seluruh negara melibatkan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO bahagian dan cawangan yang membincangkan perubahan kerajaan dengan kadar segera.
Beberapa sumber dalaman mengesahkan perkara ini kepada TTF dan memberitahu kata putus akan disampaikan kepada presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat untuk samada menolak terus Perikatan Nasional atau menghadapi kemungkinan berlakunya pergolakkan besar-besaran.
Zahid dan Najib tidak ada pilihan melainkan akur dengan kehendak ‘blok pemisah’ ini.
Jika Zahid berdegil dan menunggu sehingga bulan Febuari sebelum menarik sokongan Team A terhadap Perikatan Nasional, beberapa ahli parlimen dari Team B dijangka akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
Ini sudah pasti akan mencetuskan pelantikan Perdana Menteri baharu kerana Yang di-Pertuan Agong tidak akan bersetuju untuk membubarkan parlimen buat masa ini memandangkan jumlah kes Covid-19 masih belum menurun ke tahap dua digit.
Atas kesedaran inilah Zahid tiba-tiba mempersoalkan rasional di sebalik ‘ketakutan’ semua pihak untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum dalam masa terdekat sedangkan lebih 30 negara sudahpun menghadapi Pilihan Raya Umum dalam suasana pandemik Covid-19 yang menggila.
Tetapi bukankah ini Zahid Hamidi sama yang mengumumkan keputusan UMNO untuk adakan pilihan raya umum hanya setelah pandemik Covid-19 dikawal dan berada di tahap minimum?
Bukankah ini Zahid Hamidi sama yang menekankan kepentingan gencatan politik dan Rekonsiliasi Nasional dalam berdepan dengan Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik?
Bodoh tak bodoh?
Percaya tak sekarang Zahid dan Najib kini berada dalam keadaan amat terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan tengkuk mereka biarpun tindak tanduk mereka mengancam nyawa rakyat?
WAJIB BACA:
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
