
“Jika peratusan yang keluar mengundi pada PRN Johor cukup tinggi (85% atau lebih), tidak mustahil undi popular Barisan Nasional turun berbanding PRU14. Malah, dalam senario ini, jumlah kumulatif undi popular Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan mungkin turun sebanyak 20-25%”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤرن جوهر: جك ڤراتوس كلوار مڠوندي ملبيهي 85 ڤراتوس، بن، ڤه موڠكين هادڤي كجوتن
Sejak minggu lalu, saya menerima berpuluh-puluh permintaan untuk membuat ramalan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor biarpun saya bertegas tidak akan lakukan demikian.
Namun, setelah memikirkannya dengan teliti, saya membuat keputusan untuk menampilkan satu pertimbangan yang wajar diberi perhatian oleh semua pihak.
Perlu saya tegaskan di sini bahawa apa yang bakal saya hujahkan bukannya ramalan, kerana pada hakikatnya, tidak ada sesiapa yang mampu meramalkan keputusan PRN Johor 2022.
Ini kerana PRN Johor kali ini menampilkan dua blok yang pernah menjadi kerajaan persekutuan secara berasingan dalam penggal parlimen yang sama dan blok ketiga (baharu) yang tidak pernah terlibat dengan kerajaan.
Perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah tanah air.
Berbekalkan latar-belakang ini, berikut merupakan beberapa pertimbangan yang tidak dapat dinafikan dan harus diselami oleh semua pihak:
1. NAJIB TIDAK BERJAYA MEMBAWA SEBARANG IMPAK DI KUBU KUAT SENDIRI
Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini yang berlangsung pada 4hb Julai 2020 merupakan tanda paling awal Barisan Nasional tidak menunjukkan sebarang peningkatan dari sudut pencapaian selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
BACA ANALISIS PENUH PRK CHINI DI SINI
Ini kerana PAS dan UMNO masih dianggap ‘sekeluarga’ pada ketika itu, dan jumlah undi yang diperolehi oleh UMNO seharusnya dibandingkan dengan jumlah undi yang diperolehi oleh PAS dan UMNO pada PRU14.
Sepatutnya, UMNO menunjukkan peningkatan mendadak disebabkan impak Muafakat Nasional dan fenomena “Boss Ku” yang didakwa boleh membawa “angin perubahan.”
Namun, calon UMNO hanya berjaya meraih 13,872 undi (atau 91 peratus) daripada jumlah undi sah yang dikira (15,231 undi), iaitu penurunan sebanyak 10.1 peratus (atau 1,560 undi) berbanding jumlah yang diperolehi oleh calon-calon UMNO dan PAS pada PRU 14.
Manakala itu, peratusan yang keluar mengundi ialah 73.87 peratus (atau 15,505 pengundi), iaitu penurunan seramai 1,292 pengundi berbanding PRU14.
Jika diperhatikan, bilangan yang “tidak keluar mengundi” ini kurang sedikit dari penurunan dalam jumlah undi yang diperolehi oleh calon UMNO pada PRK Chini.
Maknanya, jika kita ‘tambah’ 1,292 undi sekalipun bagi calon UMNO (untuk tujuan perbincangan sahaja), masih akan berlaku lagi penurunan dalam jumlah undi Melayu-Islam bagi calon tersebut berbanding PRU14
Nyata di sini bahawa Najib tidak berjaya membawa sebarang impak di kubu kuat sendiri.
Malah, keputusan PRK Chini amat memalukan, kerana kempen Barisan Nasional begitu teliti, terurus, bertenaga tinggi dan penuh dedikasi biarpun berdepan hanya dengan calon-calon bebas.
2. NAJIB GAGAL MEMBAWA SEBARANG IMPAK DI MELAKA, BARISAN NASIONAL MENANG BESAR DISEBABKAN ‘BOIKOT’ PENGUNDI
Pada PRU14, sejumlah 84.52 peratus pengundi berdaftar keluar mengundi di Melaka, manakala pada PRN 2021, hanya 65.85 peratus keluar mengundi.
Penurunan ini amat besar dan berlaku tatkala rakyat dibebankan dengan isu-isu berikut;
a. Peningkatan mendadak kos sara hidup,
b. Perosotan ekonomi dan kewangan negara,
c. Kecelaruan dalam sistem politik negara,
d. Dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan,
e. Dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan SPRM,
f. Dakwaan politik darjat,
g. Percaturan tidak tentu hala gerombolan parti-parti politik blok kerajaan,
h. Kemaruk kuasa ahli-ahli parlimen blok kerajaan,
i. Sogokkan jawatan dan kedudukan dalam kadar antara tertinggi dalam sejarah tanah air, dan
j. Kegagalan kerajaan menangani krisis kesihatan, rasuah dan salah guna kuasa
Manakala itu, alternatif yang ‘dipersembahkan’ kepada pengundi ialah Pakatan Harapan, namun gabungan itu dituduh mengkhianati mandat rakyat kerana;
a. mengadakan perbincangan bersama Kleptokrat ke arah pembentukkan Jajaran Politik Baharu, dan
b. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama “kerajaan pintu belakang” yang didirikan atas ehsan sokongan Kleptokrat.
Pakatan Harapan turut dikecam kerana mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengerusi gabungan dan calon Perdana Menteri, biarpun keputusan PRN Sabah jelas menunjukkan bahawa pencalonan Anwar ditolak bulat-bulat oleh pengundi (rujuk anallisis PRN Sabah di bawah untuk mengetahui sebabnya)
ANALISIS PERTAMA PRN SABAH
Kesemua ini menyumbang kepada penurunan mendadak dalam peratus yang keluar mengundi di Melaka, malah penurunan ini boleh disifatkan sebagai “boikot besar-besaran pengundi.”
Ini seterusnya menyumbang kepada kemenangan mudah Barisan Nasional di Melaka.
Namun, Barisan Nasional hanya berjaya mencatatkan peningkatan undi popular sebanyak 2.19 peratus dan menang tipis (majoriti kurang daripada 1,000) di 12 kawasan DUN.
Seharusnya, Barisan Nasional mencatatkan peningkatan mendadak dalam peratus perolehan undi popular disebabkan penurunan besar dalam peratus yang keluar mengundi.
Ini tidak, kehadiran Najib sekalipun tidak mampu menyelamatkan keadaan, biarpun beliau berkempen seperti tiada esok, seolah-olah beliau sendiri merupakan calon Menteri Besar Barisan Nasional.
Atas sebab inilah saya berpendapat bahawa jika muncul “blok ketiga” yang baharu, peratus perolehan undi popular Barisan Nasional akan merosot.
Syaratnya, peratus yang keluar mengundi perlu sama atau hampir sama dengan peratus yang keluar mengundi pada PRU14.
3. PAKATAN HARAPAN MAKIN DITOLAK RAKYAT
Seperti yang saya jelaskan, Pakatan Harapan terpalit dengan pelbagai isu (rujuk di atas) yang menyebabkan penyokongnya menjadi meluat dan tidak keluar mengundi.
Buktinya di Melaka, apabila gabungan itu mengalami penurunan dalam peratus undi popular biarpun ditambah sekali perolehan undi PPBM.
Memandangkan Pakatan Harapan masih tidak mempedulikan kehendak penyokongnya dan terus mengekalkan MoU bersama kerajaan, gabungan itu dijangka akan dihukum lebih teruk di Johor 12hb Mac ini.
4. KESIMPULAN
a. Adalah satu kekhilafan jika mana-mana pihak berpendapat bahawa “fenomena Boss Ku” membawa kebaikkan buat Barisan Nasional
b. Barisan Nasional tidak menunjukkan peningkatan prestasi yang nyata berbanding pencapaiannya pada PRU14, malah ada tanda-tanda bahawa gabungan itu makin ditolak rakyat.
c. Rakyat menolak terus pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri (rujuk analisis PRN Sabah, klik di sini), dan
d. Penyokong Pakatan Harapan bengang dengan sikap kepemimpinannya yang sanggup bersekongkol dengan Kleptokrat
5. SATU KEMUNGKINAN YANG TIDAK DAPAT DINAFIKAN DI JOHOR
a. Jika peratus yang keluar mengundi pada PRN Johor cukup tinggi (85% atau lebih), tidak mustahil undi popular Barisan Nasional akan turun berbanding PRU14
b. Malah, dalam senario ini, jumlah kumulatif undi popular Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan mungkin turun sebanyak 20-25%.
c. Pakatan Harapan kini dianggap sebagai salah satu komponan “keluarga besar kerajaan Malaysia,” dan pihak yang layak bergelar ‘pembangkang’ di Melaka hanyalah PEJUANG dan WARISAN.
Justeru, kempen Pilihan Raya PEJUANG dan WARISAN harus bertumpu kepada:
a. pengkhianatan mandat rakyat oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan,
b. kos sara hidup yang menggila SEKALI LAGI di bawah kerajaan Barisan Nasional,
c. cara-cara meningkatkan ekonomi rakyat di Johor (sepertimana juga yang dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad), dan
d. kesedaran betapa pentingnya pengundi berdaftar di Johor keluar mengundi
Sekian
WAJIB TONTON:
